Khidmat sosial ADUN Repok, dampingi rakyat

SARIKEI: Program khidmat sosial masyarakat terus disemarakkan bagi mendekatkan hubungan pemimpin dan rakyat khususnya di kawasan DUN N.45 Repok.

Program itu merupakan aktiviti yang paling dekat dengan rakyat malah perkhidmatan dapat diberikan terus kepada mereka yang memerlukan di samping mampu mengeratkan lagi jalinan hubungan dengan semua pihak yang terlibat.

Pendekatan yang sama digunakan oleh ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dengan terus menghulurkan sumbangan katil boleh laras kepada rakyat yang terlantar sakit.

Terkini, pemimpin itu menyumbangkan dua lagi katil bagi meringankan beban penerima selain memudahkan urusan harian ahli keluarganya.

Jurucakap pusat khidmat N.45 Repok berkata, mereka yang menerima sumbangan ialah Ting Hock Sung, 64, dari Jalan Kim San dan Lam Ling Hei yang berusia 68 tahun.

“Kedua-dua pesakit ini terlantar dan dijaga oleh anak-anak mereka. Pasukan Pusat Khidmat N.45 Repok mengadakan kunjungan dan memasang katil pesakit dengan sempurna.

“Kita juga memberi tunjuk ajar cara penggunaan katil berkenaan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Jurucakap itu menambah, mereka akan terus menjalankan kerja kemasyarakatan di DUN Repok termasuk menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dan NGO.

Usaha ini akan dijalankan berterusan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, penerima ketika ditemui menyifatkan pemberian tersebut sebagai amat bermakna dan membantu meringankan beban mereka.

Kakitangan DUN N.45 Repok membantu memasang katil sebelum menyerahkannya kepada penerima.

 

Sumbangan meringankan beban penerima

 

Kakitangan Pusat DUN N.45 Repok membantu seorang penerima katil boleh laras.