Khidmat terbaik untuk Sarawak

KUCHING: SAC Mohd Salahhuddin Che Ali dilantik secara rasmi sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Jenayah di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, semalam.

Anak kelahiran Kelantan yang telah berkhidmat selama 25 tahun dalam PDRM itu dilantik selepas SAC Denis Leong dipindahkan ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Narkotik Penguatkuasaan Pencegahan Am.

Majlis Serah Terima Tugas antara pemangku jawatan iaitu ACP Zulfikar Mohd Ghazali dan Salahuddin berlangsung lancar sambil disaksikan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Salahuddin ketika berucap menegaskan, lantikan tersebut sememangnya lumrah dalam bidang kepolisan di samping mendedahkan ia merupakan perjalanan keduanya di tanah Borneo.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM dalam memberikan kepercayaan kepada saya untuk menabur bakti di Sarawak.

“Kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul tanggungjawab ini amat besar.

“Semestinya saya akan memberikan perkhidmatan sebaik kepada masyarakat Sarawak dan PDRM secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu Aidi dalam ucapannya yakin Salahuddin dapat menjalankan tugas sebagai JSJ Sarawak dengan baik berdasarkan pengalaman dan pengetahuan beliau sepanjang bertugas dalam bidang kepolisan sebelum ini.

“Beliau sebelumnya telah berkhidmat di pelbagai bidang, antaranya sebagai Pegawai Penyiasat Siasatan Jenayah, Naib Inspektor Penguatkuasaan Trafik, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Pegawai Turus Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Pegawai Turus Urus Setia Ketua Polis Negara, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Semestinya pucuk pimpinan atasan PDRM lebih mengenal pasti prestasi kemampuan, kebolehan beliau untuk menerajui JSJ Sarawak,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar semua jabatan dapat memberikan kerjasama yang baik khususnya pegawai turus dan JSJ untuk samasama memerangi jenayah dan mengurangi jenayah indeks di negeri ini.

Tambahnya, penghargaan turut diberikan kepada Zulfikar setelah memangku jawatan tersebut dengan lancar dan baik, walaupun dalam tempoh singkat selama 11 hari.

Terdahulu, Zulfikar memangku jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak bermula 17 November selepas SAC Denis Leong berpindah ke Bukit Aman sebagai Penguatkuasaan Pencegahan Siasatan Am.

Suara Sarawak