KUCHING: Bersempena perayaan Hari Sarawak yang disambut 22 Julai ini, rakyat diseru agar tampil lebih patriotik dengan mengibarkan bendera Sarawak.
Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia sebagai mengingati tarikh penting kepada negeri ini yang telah mencapai pemerintahan sendiri.
“Kita menyarankan kepada semua rakyat Sarawak untuk memasang bendera Sarawak tidak kira pada 22 atau sebelum 22 Julai sebagai tanda peringatan kepada tarikh penting tersebut.

“Kita merayakan Hari Sarawak, tanggal 22 Julai (1963) yang mana pada tarikh itu kita telah berada di bawah pemerintahan sendiri iaitu dua bulan sebelum kita membentuk Malaysia,” katanya yang juga menteri bertanggungjawab untuk penganjuran Hari Sarawak.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, hari ini sempena sambutan Hari Sarawak 2022 yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Sibu, 22 Julai ini.
Mengenai kunjungan hormat tersebut, Fatimah memaklumkan bahawa ia bertujuan untuk menghantar surat jemputan dan buku atur cara sambutan Hari Sarawak kelak.
Menurutnya, acara khas itu juga akan berlangsung pada 8 malam dan menyajikan pelbagai aktiviti termasuk persembahan.
Hadir sama ketika kunjungan hormat tersebut adalah Residen Bahagian Sibu merangkap Jawatankuasa Pelaksana Wong Hee Sieng; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Timbalan Menteri Bertanggungjawab Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi; Ketua Bahagian Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Hamdan Sharbini.