KUCHING: Penganjuran Festival Kucing Antarabangsa Kuching (KICF) 2026 tetap mendapat sambutan meskipun penganjurannya terpaksa dihadkan kepada aktiviti dalaman berikutan keadaan jerebu ketika ini.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata, pihaknya sebelum ini merancang untuk menjayakan festival berkenaan pada skala lebih besar seperti yang dinyatakan pada tahun lepas.
“Kita juga ingin mengadakan Perarakan Kucing pada tahun ini dengan skala lebih besar lagi, laluan yang lebih panjang serta pelibatan penggemar-penggemar kucing dalam jumlah yang lebih besar.
“Bagaimanapun, cuaca kali ini tidak memihak kepada kita apabila menghadapi masalah jerebu. Kita hanya dapat mengadakan aktiviti berbentuk dalaman sahaja tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan prapelancaran KICF 2026 di Tebingan Sungai Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, Hilmy menambah bahawa beliau bersyukur kerana keadaan jerebu yang semakin reda ketika ini memberi ruang kepada warga kota untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran KICF 2026.
Menurutnya, penganjuran tahun ini turut menerima penyertaan dari China, Brunei, Vietnam dan Thailand, selain peserta dari Semenanjung Malaysia serta penggiat kucing dari Sabah dan Sarawak.
“Pelibatan agak menggalakkan tahun ini. Seperti saya nyatakan tadi, kalau tidak ada masalah jerebu, saya rasa banyak lagi yang akan datang ke festival kita pada kali ini,” ujarnya.

Untuk rekod, KICF 2026 akan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober ini di Tebingan Kuching, sekali gus menyeru orang ramai hadir untuk memeriahkan festival berkenaan.
Ia merupakan salah satu program Pesta Kuching 2026 dan turut meraikan identiti Kuching sebagai “Bandar Raya Kucing”, di samping menghimpunkan pencinta kucing, keluarga, pempamer serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Penganjurannya turut menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan bandar raya Kuching serta menggalakkan kasih sayang dan keprihatinan terhadap haiwan.
KICF 2026 menampilkan dua program utama, iaitu Pertunjukan Kucing Antarabangsa WCF dan MY Cat Expo 2026.
Pertunjukan Kucing Antarabangsa WCF merupakan antara tarikan utama festival ini, dengan penyertaan pemilik dan pembiak baka kucing dari Malaysia serta luar negara. Kira-kira 200 ekor kucing daripada pelbagai baka menyertai KICF, antaranya dari Vietnam, Thailand, China, Semenanjung Malaysia, Brunei, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, MY Cat Expo 2026 pula menawarkan suasana meriah dengan pelbagai produk berkaitan kucing dan haiwan peliharaan, perkhidmatan, makanan, minuman serta pilihan jualan lain.
Manakala, Meow Fiesta menghimpunkan 41 reruai, terdiri daripada 13 reruai makanan dan minuman, 11 reruai berkaitan kucing dan haiwan peliharaan serta 17 reruai pelbagai jualan lain.



