Kikis tanggapan anak harus dapat kerja kerajaan

KUCHING: Ibu bapa harus memberi peluang kepada anak menceburi bidang kemahiran sekali gus membuang tanggapan bahawa belajar tinggi semata-mata sebagai jaminan anak dapat bekerja di agensi kerajaan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Sri Fatimah Abdullah mahu  ibu bapa mengikis pandangan itu kerana pada masa akan datang peluang lebih terbuka dalam bidang kemahiran.

“Peluang pekerjaan lebih terbuka kepada pelajar mempunyai sijil kemahiran dan sektor kerajaan sekarang lagi bukan jaminan tetap,” ujarnya.

Beliau berkata semasa menerima kunjungan hormat dari wakil Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) di Bangunan Baitul Makmur, Kuching, semalam.

Katanya lagi, program ini akan dilaksana agar PPKS akan dapat meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa dan pelajar.

Gambar fail

“Program sekolah angkat hasil usahasama dengan beberapa sekolah di negeri ini supaya maklumat lanjut mengenai mata pelajaran ditawar, kemudahan disedia dan peluang menanti mereka selepas tamat pengajian,” ujarnya.

Selain itu, program yang akan dilaksanakan dikenali sebagai Revolusi Perindustrian adalah releven dengan dasar kerajaan dalam Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan Ekonomi Digital 2020.

“Pembukaan kampus tersebut di Mukah sebagai satu keputusan tepat kerana kawasan itu berpotensi tinggi dalam bidang pertanian.

“Justeru, penggunaan alatan moden seperti jentera berat dan mesin canggih diperlukan untuk menjadikannya seorang petani berjaya,” katanya.

Fatimah menjelaskan, selain itu mereka juga akan diajar mengenai cara memasarkan hasil produk tanaman masing-masing.