Kilang ais pertama Daro

DARO: Kerajaan akan membina sebuah kilang mini ais bagi menampung keperluan nelayan setempat di Kampung Badong di sini.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, kilang ais pertama di Daro yang bernilai RM197,00.00 itu dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Usahawan Desa Sarawak dan merupakan hasil peruntukan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Menurutnya, perlaksanaan projek bermula pada pertengahan Februari dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

“Perlaksanaannya tertangguh seketika akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang kerja-kerja menyiapkannya disambung semula,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, projek itu dapat membekalkan keperluan air batu kepada nelayan khususnya di Kampung Badong dan Daro apabila siap sepenuhnya kelak.

Katanya, pengurusan kilang tersebut akan diserah kepada komuniti nelayan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Badong.

“Kampung Badong dipilih sebagai tapak pembinaan kerana mempunyai nelayan dan lokasinya juga strategik. Kilang ini akan membekalkan ais bagi keperluan nelayan di sekitar Daro.

“Pada masa yang sama, ia juga boleh membantu masalah nelayan untuk memperoleh bekalan ais kerana kadang-kadang mereka terpaksa mendapatkan bekalan dari Sibu,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Kampung, Haslimi Hassan berkata, kemudahan tersebut memberi manfaat besar kepada komuniti nelayan setempat.

“Sebahagian besar nelayan kawasan ini bergantung hidup dengan melakukan tangkapan udang, ketam bakau dan ikan di sungai serta pesisir pantai.

“Kilang ais yang disediakan kerajaan ini amat melegakan kami. Justeru, saya mewakili seluruh masyarakat nelayan Daro ingin mengucapkan terima kasih terutama kepada wakil rakyat yang perihatin dengan keperluan kami di kawasan ini,” katanya.