Kilang jagung tingkatkan taraf hidup penduduk

SRI AMAN: Pembinaan sebuah kilang jagung di kawasan Sri Aman bakal membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi masyarakat melalui pertanian.

Sehubungan itu, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis menyambut baik usaha sebuah badan korporat yang berhasrat untuk membina kilang jagung tersebut.

Menurutnya, pelaburan dalam bidang pertanian terutamanya di kawasan Sri Aman langkah yang tepat memandangkan Sri Aman terkenal dengan pengeluaran pelbagai produk tani.

“Saya yakin, kilang jagung yang ingin dibina itu pasti akan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk terutamanya di kawasan Sri Aman,” ujarnya semasa Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2019 Rumah Ayai, Putat di sini, semalam.

Harden berharap, pembinaan kilang jagung itu dapat dilaksanakan seperti mana yang dirancang.

Dalam perkembangan berkaitan, projek pembinaan sengkuap kaki lima Rumah Ayai, Putat yang bernilai RM56,000 telah siap dibina turut dirasmikan sempena majlis berkenaan.

Kos membina sengkuap berkenaan masing-masing telah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim (RM30,000) dan Harden (RM26,000).

Projek sengkuap sepanjang 720 kaki tersebut mula dibina pada awal tahun lalu dan siap pertengahan tahun 2018, adalah salah satu projek daripada Kerajaan Sarawak untuk membantu naik taraf rumah panjang.

Harden yang juga Adun Simanggang meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 sementara Tan Sri Yee Ming Sing menyumbang RM10,000 kepada JKKK Rumah Ayai bagi membiaya projek memasang ‘gutters’ rumah panjang berkenaan.