Kilang kelapa sawit diingatkan patuhi had pelepasan BOD

KUCHING: Kilang-kilang Kelapa Sawit (KKS) di negeri ini diingatkan untuk sentiasa memantau had pelepasan Biochemical Oxygen Demand (BOD) pada kepekatan 20 miligram perliter (mg/L).

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia, Rosli Zul berkata pematuhan itu adalah untuk ke arah piawaan baharu yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun depan.

“Untuk makluman, dari Jan hingga Jun tahun ini, JAS Sarawak telah menerima sebanyak 27 pemohonan Notifikasi melibatkan 39 alat pembakaran bahan api, 23 sistem kawalan pencemaran udara (39 APB/ 23 SKPU) bagi menaiktaraf dan pemasangan baharu.

“Ini jelas menunjukkan KKS di negeri ini telah mengambil tindakan yang wajar dan komited untuk mematuhi had pelepasan nilai batas dan standard teknikal di dalam Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih),2014,” katanya pada Majlis Penutupan Seminar Pematuhan Kilang Kelapa Sawit Terhadap Akta Kualiti Alam 1974 di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS Sarawak Ahmad Saiful Salihin, Ketua Penolong Pengarah JAS Sarawak, Mohamad Zaihan Lek, dan Ketua Penolong Kanan Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAS, Dayang Nurbaini Awang Bujang.

Rosli berkata, bagi pemohonan pembaharuan lesen KKS, JAS telah meluluskan 84 pemohonan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi tempoh perlesenan dari 1 Julai 2019 hingga 30 Jun tahun depan.

Kira-kira 200 peserta terdiri daripada industri KKS, perunding alam sekitar, penyedia teknologi dan agensi kerajaan telah menyertai seminar tersebut.