SERIAN: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dikesan bersembunyi di belakang sebuah kilang terbiar Kampung Entubuh dan dikesan cuba masuk melalui jalan tikus di Kampung Mongkos diusir semula untuk berpatah balik ke Indonesia.
Komander Briged Pasukan Gerakan Am Sarawak Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, kesemua individu terbabit terdiri daripada 14 individu lelaki dan tujuh orang wanita.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan hasil maklumat aduan yang diterima daripada orang kampung selepas melihat sekumpulan individu berkumpul di belakang kawasan kilang terbiar di kampung mereka.
“Rabu lalu sekitar jam 7.15 pagi Pasukan Khas Skuadron Perisai 11 mengesan seramai 12 lelaki dan empat wanita dalam keadaan mencurigakan di belakang kilang di Kampung Entubuh Jalan Serian-Tebedu.
“Manakala kejayaan kedua iaitu seramai lima pati terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita ditahan ketika cuba memasuki Malaysia menggunakan jalan tikus di ladang sawit Kampung Mongkos sekitar jam 10.30 malam, semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, kesemua pati yang ditahan mengaku telah memasuki Malaysia melalui jalan tikus dan mereka juga gagal menunjukkan sebarang dokumeb perjalanan yang sah ketika disoal siasat oleh pasukan operasi.
Justeru katanya, kesemua pati terus diusir semula untuk balik ke Indonesia dengan menggunakan laluan sama yang mereka gunakan ketika memasuki Malaysia.
Tambahnya ketika operasi terbabit tiada sebarang sentuhan dan kekerasan dilakukan sebelum memastikan kesemua pati pulang semula ke negara asal.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.