KUCHING: Kilometer 0 atau Kilometer Kosong Lebuh Raya Pan Borneo di Telok Melano menjadi persinggahan terakhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menamatkan Kembara Kenali Borneo yang berlangsung 11 hari.
Telok Melano kira-kira 33 kilometer dari pekan Sematan merupakan bahagian Lebuh Raya Pan Borneo yang pertama disiapkan dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Januari 2019.
Kembara Kenali Borneo bermula di Tawau, Sabah pada 3 September dan mengharungi perjalanan sejauh 2,154km yang membabitkan persinggahan di beberapa tempat di Negeri Bawah Bayu itu, serta Brunei dan Sarawak, sebelum berangkat menuju Telok Melano.
Al-Sultan Abdullah menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Telok Melano, selain melawat beberapa kawasan tarikan di situ sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, petang ini.