King Keju tawar aiskrim PELBAGAI PERISA

KUCHING: Memulakan perniagaan dengan menjual kek keju sebelum ini, Roslan Morshidi, 35, dan isteri Nur Zaleha Migan, 34, kini mengembangkan perniagaan itu kepada produk aiskrim pelbagai perisa.

Menurut pasangan suami isteri ini, perniagaan yang kian meningkat naik itu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan.

“Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, kami hanya menjual kek keju ala-ala New York yang dilengkapi ranting kayu sebagai daya tarikan.

“Pada Disember 2020, kami mulai menjalankan perniagaan ini di Boyan dan berpindah ke Jalan Astana disebabkan kurangnya pengunjung ke sana,” katanya.

Roslan berkata demikian ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak di gerainya baru-baru ini.

Menurutnya, perniagaan yang mulai bertapak selama dua bulan di Jalan Astana Kuching itu menawarkan pelbagai perisa aiskrim termasuk buah-buahan dan karamel mengikut cita rasa pelanggan.

Antara sumber inspirasi yang menjadi pendorong terhadap inovasi aiskrim ini adalah minat yang mendalam dalam bidang penyediaan pencuci mulut dan juga niat berani mencuba resepi baharu.

“Meskipun perniagaan agak terjejas ekoran pandemik yang melanda, namun kami masih mampu bertahan sehingga hari ini.

“Baru-baru ini, kami juga telah mendaftar perniagaan dalam aplikasi FoodPanda dan GrabFood untuk menjamin perniagaan ini kekal berdaya saing,” ujarnya.

Dia mendedahkan, perniagaannya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang beroperasi.

Mengulas akan cabaran dalam perniagaan pula, Roslan menjelaskan memastikan aiskrim yang dipesan dalam keadaan baik sampai ke tangan pelanggan adalah satu cabaran besar.

Menurutnya, aiskrim merupakan produk makanan yang cepat cair dalam jangka masa yang singkat.

“Pada awalnya, saya hanya berniat suka-suka untuk menyaluti aiskrim yang dihasilkan dengan beberapa perisa termasuk kek keju buah-buahan.

Kini saya mempelbagaikan dengan perisa lain pula.

“Aiskrim yang kami jual ini turut mempunyai kadar harga yang berbeza mengikut perisa yang dikehendaki pelanggan.

“Kami menawarkan pelbagai jenis aiskrim mampu milik serendah RM2.50 sehingga RM9.90 berdasarkan pilihan perisa yang sedia ada,” ujar Roslan.

Tambahnya lagi, perniagaan yang dijalankan itu turut memberi pulangan yang lumayan sehingga mencecah RM1, 000 sehari.

“Kami berhasrat untuk menambah menu pencuci mulut yang lain berasaskan jenama King Keju pada masa akan datang.

“Setakat ini kami mempunyai tiga jenis menu premium iaitu aiskrim bersalut kek keju dan juga buah-buahan,” katanya.

Terdahulu, Roslan dan isteri juga pernah mengusahakan perniagaan roti John pada 2018.

Kini, mereka mengusahakan perniagaan aiskrim dengan jenama King Keju di Jalan Astana, Kuching.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan yang menggemari pelbagai perisa aiskrim boleh mengunjungi laman Facebook King Keju yang menawarkan pelbagai aneka aiskrim yang lazat.