Kiosk CCRIS ditempatkan di Bangunan Majma Mall Kuching dan UTC Kuching

KUCHING: Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak dan UTC Kuching akan menempatkan sebuah kiosk Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) secara layan diri di aras bawah Bangunan Majma Mall di sini dan tingkat 2, UTC Kuching.

Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching Mohd Irman Mohd Din berkata kiosk tersebut dijangka beroperasi pada pertengahan Jun ini, sebagai kemudahan untuk orang ramai mencetak laporan CCRIS masing-masing.

“Diharapkan orang ramai boleh mencetak laporan CCRIS masing-masing di kiosk ini kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

CCRIS merupakan satu laporan kredit yang mengumpulkan segala maklumat pinjaman semasa individu dan syarikat yang dibuat bersama-sama dengan institusi-institusi kewangan di bawah seliaan BNM.

Institusi kewangan ini termasuklah Bank Perdagangan, Bank Islam, Institusi Kewangan Pembangunan, Syarikat Insurans, Pengeluar Instrumen Pembayaran, Institusi Pemulihan, Perniagaan Kredit yang berdaftar dibawah CCRIS dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Laporan kredit ini memaparkan maklumat berkaitan jenis pinjaman, jumlah pinjaman, jumlah ansuran bulanan dan pembayaran balik pinjaman. Maklumat ini akan digunakan sebagai rujukan oleh institusi kewangan untuk mendapatkan sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam.

Suara Sarawak