BELIAU pernah dilabel sebagai “raja yang tidak ditakhtakan di Sarawak.”
Gelaran itu bukan diberikan oleh orang sembarangan, sebaliknya oleh Ranee Sylvia Brooke, menerusi bukunya The Three White Rajahs yang diterbitkan pada tahun 1939.
Gelaran ini sahaja sudah membuktikan betapa hebatnya individu yang bernama Wee Kheng Chiang ini.
Siapakah beliau?
Beliau merupakan antara tokoh usahawan Cina yang paling berjaya di Sarawak sejak era pemerintahan Brooke.
Dan buktinya, beliaulah tokoh yang menubuhkan bank terkemuka di Singapura; United Oriental Bank (OUB) dan CIMB Bank di Malaysia.
Kisah hidup Kheng Chiang sebenarnya cukup menarik, kerana beliau lahir dalam keluarga yang susah dan huru-hara.
Lahir pada 22 Julai 1890 di sebuah rumah kayu, tidak jauh dari Kuching, bapanya merupakan imigran China dari Quemoy, wilayah Fujian bernama Wee Tee Ya.
Sebelum meninggalkan kampung halamannya untuk merantau, Tee Ya telah berkahwin dengan seorang gadis di kampung halamannya.
Pun begitu, setibanya di Sarawak, beliau berkahwin pula dengan gadis tempatan, Choo Kim Kaw dan mereka dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan, termasuk Kheng Cheng.
Seperti imigran lain, kehidupan Tee Ya begitu sukar dan beliau terpaksa melakukan banyak kerja termasuk menanam sayur selain menternak babi dan ayam.
Keadaan sukar itu menyebabkan beliau mengalami kurang khasiat dan terdedah kepada penyakit.
Beliau kemudian dijangkiti kolera yang kemudian menghabiskan nyawanya. Kheng Chiang ketika itu berumur 6 tahun, abangnya 8 tahun dan adik yang kecil berusia 3 tahun.
Selepas setahun mendepani hidup yang sukar, ibu Kheng Chang tidak ada pilihan lain.
Dia menghantar Kheng Chiang dan abangnya kembali ke Pulau Quemoy untuk dijaga oleh isteri pertama suaminya.
Di sini mereka dijaga dengan penuh kasih sayang.
Pun begitu, abang Kheng Chang kembali ke Sarawak, empat tahun kemudian untuk membantu ibunya.
Empat tahun selepas itu, ketika berlaku epidemik di pulau tersebut, ibu tirinya pula terpaksa merayu kepada ahli keluarga yang pergi merantau ke Sarawak untuk membawa Kheng Chang sekali.
Beliau ketika itu berusia 15 tahun.
Seperti mendiang bapanya, itu merupakan saat terakhir beliau menatap wajah ibu tiri yang amat disayanginya itu.
Sekembalinya ke Sarawak, Kheng Chiang memulakan alam persekolahannya.
Beliau berusia 16 tahun ketika memasuki St Thomas School.
Lima tahun di sekolah itu, beliau amat disenangi oleh para guru, dan beliau dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Selepas menamatkan Standard Lima, beliau diterima bekerja sebagai kerani di Borneo Company.
Di sini beliau bekerja di bahagian jualan.
Selepas enam bulan, beliau berhenti untuk bekerja dengan Kerajaan Brooke. Beliau dilantik sebagai pembantu pejabat di pejabat residen.
Pun begitu, beliau bertugas menangani urusan masyarakat Cina di pejabat itu selama tiga bulan sebelum ditawarkan jawatan sebagai pembantu pejabat di Jabatan Penghantaran Kargo, Sarawak Steamship Company, yang memberikan imbalan yang lebih lumayan.
Akan tetapi, selepas empat bulan, beliau meletakkan jawatan sekali lagi.
Kali ini untuk menyertai syarikat milik tokoh korporat terkemuka ketika itu, Ong Tiang Swee.
Di sini bakat kepimpinannya menyerlah dan Keng Chiang kemudian ditawarkan kedudukan sebagai pengurus selepas hanya enam bulan bekerja.
Sekitar tahun 1910, anak perempuan sulung Tiang Swee telah mencapai usia perkahwinan.
Selepas gagal mencari pasangan yang sesuai, pada suatu malam, isteri Tiang Swee bermimpi dan setelah ditafsirkan mimpi itu, mereka memilih Keng Chiang menjadi bakal menanti.
Ia sudah tentu menjadi kejutan buat anak muda yang hidupnya sukar ini.
Pasangan ini kemudiannya berkahwin pada 10 Mac 1911 selepas 99 hari bertunang.
Perkahwinan ini menjadi titik perubahan kepada kehidupan Kheng Chiang yang mula dikenali ramai, termasuk golongan kenamaan, dan tentu sekali Rajah Charles Vyner Brooke.
Pada tahun 1921, pada usia 31 tahun, Kheng Chiang menubuhkan syarikatnya sendiri, Hiap Chiang Leong, yang menjalankan perniagaan tuak dan arak.
Selepas kejayaan itu, beliau menubuhkan banyak lagi perniagaan lain dan ini termasuk perniagaan berkaitan kulit buaya, sarang burung dan sirip yu.
Syarikat lainnya pula melaksanakan perniagaan import eksport , pembalakan, percetakan dan penjualan alat tulis.
Perniagaan ini bukan tertumpu di Kuching sahaja, malah ke luar bandar seperti Bintangor dan Mukah.
Dalam melaksanakan perniagaannya, beliau kerap dikunjungi oleh pelanggan yang mahu mengirim wang kepada keluarga mereka di China.
Sedar akan peluang yang terbuka, Kheng Chiang dan sahabatnya Soo Kok Siang kemudian menubuhkan Bian Chiang Bank di Kuching pada 1924.
Ia bank kedua ditubuhkan oleh peniaga Cina di Sarawak selepas Tiong Hua Bank yang diasaskan oleh sekumpulan peniaga termasuk bapa mertua Kheng Chiang, Ong Tiang Swee.
Pengurusan bank ini ditangani oleh anak Kheng Chiang, Wee Hood Teck. Kejayaan di Sarawak mendorong Kheng Chiang mengembangluaskan perniagaannya.
Beliau kemudian menubuhkan Lian Hong Company di Singapura pada tahun 1926 — yang bertanggungjawab menguruskan produk pertanian dari Sarawak.
Ia juga membuka matanya tentang bagaimana perniagaan berskala besar berlangsung di negara tersebut.
Pengalaman menubuhkan bank dan hubungan yang akrab dengan pemain industri kewangan mendorong Kheng Chiang menubuhkan United Chinese Bank (UCB) di Singapura pada 1935.
Bank inilah kemudiannya dinamakan sebagai perniagaan, bank ini cukup berjaya dan keuntungan yang diperoleh oleh Kheng Chiang berlipat kali ganda. Ini kerana beliau mengamalkan pengurusan yang teratur.
Dengan semua perniagaannya berjalan lancar termasuk dua banknya di Kuching dan Singapura, Kheng Chiang menjadi individu terkaya di Sarawak sebelum Perang Dunia Kedua.
Pada 1931, Kheng Chiang dilantik sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina di Sarawak dan menggalas tugas tersebut selama 15 tahun.
Ketika Jepun menyerang China, dewan ini telah menubuhkan jawatankuasa Tabung Bantuan China, yang bertanggungjawab mengumpul dana untuk membiayai gerakan menentang Jepun di China.
Mereka berjaya mengumpul dana sebanyak $900,000 ketika itu selain menyediakan tenaga kerja sukarela untuk membina jalan China-Burma.
Ketika Jepun menjajah Sarawak, Kheng Chiang dan abangnya antara sasaran utama mereka. Kedua-duanya telah ditahan dalam dua majlis berbeza dan telah didera dan dipenjarakan oleh Kempetai.
Mereka kemudian dipaksa menjadi buruh paksa membina jalan di Kuching dan memikul guni beras seberat 150 kilogram.
Seksaan inilah yang menyebabkan kesihatannya terjejas selepas perang, termasuk menderita hernia.
Pun begitu beliau bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman mati, kerana ketika hukuman hendak dilaksanakan kepadanya, Jepun secara tiba-tiba mengumumkan kekalahan.
Bagaimanapun nasib berbeza menimpa abangnya yang meninggal dunia ketika diseksa Kempetai.
Selepas perang, Kheng Chiang bersatu semula dengan keluarganya di Singapura.
Tumpuannya kini ialah membina semula perniagaannya dan ini termasuk perniagaan Bank UCB.
Bank tersebut tidak rugi banyak dari segi modal, namun kehilangan ramai kakitangan berbakat dan berwibawa.
Pada 17 September 1945, beliau membuka semula perniagaan dengan modal sebanyak $100,000 yang dipinjamkan Pentadbiran Tentera British.
Semua bekas pekerja dipanggil semula dan gaji mereka dikekalkan.
Kheng Chiang kekal sebagai pengerusi, namun kali ini turut menggalas peranan sebagai pengarah urusan.
Semangat dan dedikasinya kemudian berjaya menggerakkan bank ini berkembang dengan giat hingga aset kasar yang diperolehnya mencecah $11.9 juta, lebih tinggi daripada apa yang dimiliki sebelum Perang Dunia Kedua.
Pada 1958, Kheng Chiang melantik anaknya Wee Cho Yaw ke dalam lembaga pengarah sebelum mengambil alih perniagaan dua tahun kemudian.
Ketika hendak mengembangkan perniagaan ke Hong Kong pada 1964, mereka terpaksa menukar nama UCB kepada United Oriental Bank (UOB) kerana ada perniagaan lain yang didaftarkan atas lesen UCB di negara itu.
Selepas pengembangan itu, modal dibenarkan UOB terus membesar daripada $4 juta kepada $20 juta, dan ia tidak lagi menoleh ke belakang. Kheng Chiang tidak melupakan Sarawak di sebalik perniagaan besarnya di Singapura.
Beliau menubuhkan Wee Kheng Chiang & Co Ltd selepas tamat perang, yang terlibat dalam perniagaan lada, getah dan pelbagai komoditi lain.
Kheng Chiang kemudian menyerahkan perniagaannya kepada dua anaknya yang lain selepas Hood Teck mengambil keputusan untuk terlibat dalam perniagaan lain berkaitan hartanah dan pembangunan perumahan.
Sepanjang kehidupan, Kheng Chiang ialah seorang yang cukup baik dan pemurah. Beliau dikenali sebagai pemilik jiwa yang dermawan.
Antara jasa besarnya termasuklah membina sekolah Sarawak Free School dan Hokkien Free School yang kemudian dikenali sebagai Chuang Hua Primary School No 1.
Selepas Perang Dunia Kedua, beliau membantu sekolah-sekolah Chung Hua dengan menyumbang $2000 secara tahunan.
Selain itu, beliau turut membantu mencari dana untuk membeli tanah dan premis bangunan milik Konsulat China di Kuching bagi menempatkan Chung Hua Primary School No 4.
Beliau juga individu penting yang menymbang kepada pembinaan kelas baharu di Sekolah Rendah St Thomas dan Sekolah Menengah St Luke, Kuching.
Menjadi pemimpin pelbagai pertubuhan sejak 1930-an, Kheng Chiang berjaya menarik perhatian Rajah sehingga dilantik sebagai Ahli Majlis Perundangan Sarawak dari tahun 1937 hingga 1940.
Lelaki yang memperoleh juta pertamanya ketika berusia pertengahan 30-an ini menutup mata pada 1978.
Beliau pergi pada usia 88 tahun, meninggalkan dua isteri dan 15 anak.
Beliau pergi dengan tenang kerana telah meninggalkan legasi hebat dalam bidang perniagaan di Sarawak dan menjadi antara individu terawal yang meletakkan Sarawak di peta dunia.
Setahun selepas kematiannya, pada November 1979, Bank Bian Chiang yang diasaskannya, telah dijenamakan semula sebagai Bank of Commerce Bhd apabila dibeli oleh Fleet Group.
Pada 1986, Bank of Commerce Bhd dijenamakan semula sebagai Commerce International Mechant Bankers Berhad (CIMB) yang kemudian menjadi bank terbesar di Asia Tenggara.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.