Kisah cinta PSB dan PDP

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KETIKA mengikuti program turun padang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N67 Jepak di Pasar Malam Bintulu malam Isnin, penulis terserempak dengan Dr Johnical Rayong Ngipa.

Dr Johnical yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Engkelili merupakan Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ketika proses penamaan calon PRK Jepak pada 21 Oktober lalu, kelibat beliau dan Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh amat jelas di Dewan Suarah Bintulu.

Lebih menarik, kedua-dua mereka memakai topi GPS, dengan ratusan penyokong mereka turut hadir dengan pakaian yang sama.

Para penyokong ini berada di sisi ratusan penyokong Parti Demokratik Progresif (PDP) yang mengibar kemas bendera GPS, biarpun berada di bawah panas terik.

Kesungguhan yang ditunjukkan para pemimpin PSB ini ternyata membuktikan bahawa mereka kini fokus untuk bersama GPS.

Komitmen ini turut ditunjukkan oleh Soon Koh sendiri, yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan bekas calon PSB di Dun N67 Jepak, Dr Raba’ah Tudin tidak melangkah kaki ke pusat penamaan calon. Bekas pensyarah yang merupakan pakar dalam Ekonomi Politik, Globalisasi dan Ekonomi Antarabangsa itu pada mulanya dikhabarkan akan bertanding sebagai calon Bebas.

Justeru ia digeruni sebagai ancaman kepada calon baharu GPS, Iskandar Turkee kerana ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2021, Raba’ah berjaya memperoleh 2,034 undi. Oleh yang demikian, bagi membuktikan kesetiaannya kepada GPS dan Datuk Seri Tiong King Sing selaku Presiden PDP dan Ahli Parlimen GPS bagi kawasan Bintulu, Soon Koh perlu memastikan Raba’ah membatalkan niatnya dengan apa-apa cara sekalipun.

Soon Koh menghubungi Raba’ah bertalu-talu pada malam genting itu, kerana sebelah siangnya Raba’ah telah hadir pada simulasi penamaan calon. Dan pastinya Soon Koh lega, kerana kelibat Raba’ah kemudiannya langsung tidak kelihatan. Kisah cinta PDP dan PSB sebenarnya terjalin selepas Pilihan Raya Umum yang lalu. PSB dan Soon Koh ketika itu sedar bahawa mereka tidak boleh selama-lamanya menjadi ego, memberontak dan membangkang.

Mereka perlu realistik bahawa GPS merupakan parti yang semakin kuat dan dominan, kerana telah melaksanakan impian rakyat. GPS sejak penubuhannya pada 2018 nyata membuktikan mereka bekerja untuk rakyat, dengan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur dilaksanakan di seluruh negeri.

Lebih menarik, parti itu memiliki “kuasa pemutus” terhadap siapa yang bakal menerajui Putrajaya.

Pada masa yang sama, slogan “Utamakan Sarawak” ternyata membunuh semua impian parti pembangkang yang ada di negeri ini, dan PSB tidak terkecuali.

Hanya menguasai tiga DUN Engkilili, Bawang Assan dan Ba’kelalan tidak akan membawa suara mereka ke mana.

Jika silap langkah, parti ini akan bertukar menjadi parti nyamuk dan tidak akan lagi dipandang.

Justeru itu, Soon Koh mengambil pendekatan yang tepat. Beliau memilih untuk mendekati dan menjalin hubungan persahabatan dengan musuh yang kuat, berbanding menentangnya. Soon Koh memilih PDP kerana King Sing merupakan bekas anak muridnya.

Dan antara beliau dengan Menteri Pelancongan itu, wujud hubungan simbiotik yang membolehkan mereka berbicara secara ikhlas dan terbuka.

Sudah pasti beliau sukar untuk berbicara dengan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), kerana kebanyakan ahlinya, termasuk Soon Koh dan Johnical sendiri merupakan bekas ahli parti tersebut. Dan PSB pula merupakan serpihan parti-parti ini, yang ditubuhkan pada 2014. Bagi King Sing, tidak ada ruginya beliau mencuba resipi baharu politik ini.

Jika huluran salam ini berjaya, beliau sudah pasti dapat membesarkan kek perwakilan partinya dalam DUN Sarawak. Ketika ini PDP mempunyai dua perwakilan di Dewan Rakyat iaitu King Sing sendiri di Parlimen P217 Bintulu dan Datuk Anyi Ngau di Parlimen P220 Baram.

Dalam Dewan Negara pula, parti ini diwakili Senator Datuk Paul Igai. Selepas Pilihan Raya Negeri 2021, parti ini dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak diwakili di DUN N39 Krian oleh Friday Belik; N48 Meluan (Rolland Duat Jubin); N52 Dudong ( Tiong King Sing); dan N76 Marudi (Datu Dr. Penguang Manggil).

Justeru, jika PDP berjaya menyerap kemasukan ahli PSB dan menutup terus parti tersebut, dengan sendirinya, perwakilan untuk PDP akan bertambah kepada tujuh kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak. Ini tidak termasuk, jika mereka berjaya membawa beberapa ADUN lain, seperti See Chee How (DUN Batu Lintang). Jika ini berlaku, ia akan memberi lebih keyakinan kepada parti itu.

Pun begitu, ia tidak akan mengganggu status quo rakan komponen GPS yang lain, kerana PBB sendiri sebenarnya menguasai 45 kerusi (tidak termasuk DUN N67 Jepak); SUPP (13 kerusi) dan PRS (11 kerusi). Yang berbeza ialah, Soon Koh tidak akan lagi duduk di saf pebangkang dan bertindak sebagai Ketua Pembangkang. Yang akan mengambil alih tugas tersebut ialah ADUN Padungan (Chong Chieng Jen) daripada Parti DAP.

Apa pun, King Sing perlu berhati-hati dalam apa-apa jua tindakan dan keputusannya mengenai PSB. Beliau perlu memastikan perkara besar seperti ini dirunding dalam kalangan parti komponen terutamanya PBB.

Ini kerana dalam tiga konvensyen khas PBB sebelum ini, tindak tanduk parti komponen menjadi antara usul yang dibahaskan.

Beliau perlu memastikan apa jua tindakannya, baik merisik, meminang mahupun mengahwini mana-mana parti pun, tidak akan melukakan hati rakan komponen.

Tidak mencalar semangat “Utamakan Sarawak” yang kini membara di seluruh negeri. Apa pun, secara realitinya, PRK DUN N67 Jepak telah memberi bayangan yang jelas, mungkin usia PSB setakat tujuh tahun.

Johnical sendiri kini berada di belakang King Sing dalam lawatannya hampir kesemua rumah panjang di DUN Jepak.

Justeru tidak mustahil selepas pilihan raya ini, kesemua ahli PSB mungkin akan menyarung baju PDP meletakkan DUN Sarawak hanya diduduki dua wakil rakyat pembangkang.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei