KUCHING: Prinsip tegas dalam membuktikan lelaki juga mampu mempelopori bidang solekan membuatkan Justin Williamson Ujang berjaya menepis stigma masyarakat terhadapnya.
Jurusolek lelaki berusia 29 tahun dari Sibu itu berkata, ketika mula menceburi bidang solekan terdapat segelintir pihak yang mengkritiknya dan menganggap ia bukan bidang yang sesuai untuk lelaki.
“Bagaimanapun, saya bertekad dan berjanji kepada diri sendiri untuk membuktikan bahawa lelaki juga mampu mempelopori bidang ini dengan niat dan minat yang mendalam.
“Stigma masyarakat, lelaki yang meminati bidang solekan ini seperti dianggap sama seperti wanita dan saya ingin memperbetulkan perkara tersebut.
“Bagi saya, zaman sekarang lelaki dan wanita tiada lagi jurang dalam semua bidang kerana ada wanita yang menjadi juruterbang, ahli tinju, askar, polis dan sebagainya,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Sehubungan itu, Justin juga mempersoalkan adakah wanita yang menceburi bidang lelaki ini dianggap seperti seorang lelaki?
“Minat yang amat mendalam membuatkan saya berkobar-kobar untuk terus berjaya dalam bidang ini tanpa memperdulikan stigma negatif daripada segelintir masyarakat.
“Saya amat bersyukur kerana dikelilingi oleh keluarga dan sahabat yang sangat positif dan menjadi pembakar semangat,” ujarnya.
Justin memberitahu, dia mula berkecimpung dalam dunia solekan ini sejak tahun 2012 semasa masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.
“Saya menawarkan perkhidmatan solekan hanya untuk mengisi masa lapang dan secara tidak langsung, saya telah jatuh cinta dengan dunia solekan ini selama sembilan tahun.
“Sejujurnya saya tidak mempunyai apa-apa kemahiran khusus dalam bidang ini, sebaliknya saya banyak membuat latihan dengan mempraktikkan kemahiran di wajah rakan-rakan dan mendapatkan ilmu melalui tontonan video di media sosial,” jelasnya.
Justin yang kini menyediakan perkhidmatan solekan untuk perkahwinan, pertandingan ratu cantik dan lain-lain itu juga berkata, terdapat banyak cabaran yang ditempuhi sepanjang menjadi jurusolek atau jurumekap (MUA).
“Setiap pelanggan ada kerenahnya sendiri, contohnya, saya akan meminta pelanggan itu untuk menerangkan bagaimana jenis solekan yang dimahukan.
“Ada juga yang meminta hasil di luar jangkaan yang saya belum pernah buat, tetapi saya sahut cabaran itu dan mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan apa yang mereka inginkan.
Syukur, setakat ini semua pelanggan saya sangat berpuas hati.
Menurutnya, dia juga sangat menjaga dan menghormati sensitiviti pelanggan yang beragama Islam.
“Jika melakukan solekan pada wajah pelanggan yang beragama Islam, saya akan memakai sarung tangan, pelitup muka dan pensanitasi tangan sebelum, semasa, dan selepas saya menyolek.
“Sebenarnya sudah menjadi kebiasaan saya untuk mempraktikkan semua itu kerana dari dulu lagi termasuk untuk pelanggan bukan Islam,” ujarnya lagi.
Untuk perkhidmatan solekan ini, kata Justin, kadangkala dia tidak menang tangan kerana banyak mendapat tempahan terutamanya pada musim perayaan, cuti sekolah dan pada hujung tahun khususnya di kawasan luar seperti Kuching iaitu di Sri Aman, Betong, Kanowit, Bintulu, Miri dan Belaga.
“Saya jenis yang sangat teliti, jadi masa untuk saya menyiapkan seorang pelanggan kira-kira dua jam manakala bagi majlis perkahwinan pula hingga tiga jam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Justin menyatakan sepanjang PKP dan PKPB, banyak tempahan solekan terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh baharu terutamanya majlis perkahwinan dan pertandingan ratu cantik.
“Ya, jujur saya amat sedih dan terkilan namun saya tidak mudah melatah atau patah semangat.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tetap menerima tempahan solekan sepanjang PKP dan PKPB ketika majlis dibenarkan dan keadaan kembali sedikit reda sebelum ini,” ujarnya sambil menambah solekan dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Justin memaklumkan, selain menjadi jurusolek, dia juga merupakan seorang perunding perkahwinan dan memiliki set Ngepan Iban dan baju pengantin untuk disewa bukan sahaja bagi majlis perkahwinan malah sesi videografi dan fotografi.
“Ketika PKPB atau majlis perkahwinan tidak dibenarkan, pelanggan hanya membuat sewa baju untuk sesi penggambaran.
“Oleh itu, saya akan tetap meneruskan bidang solekan ini tanpa mengira penat, putus asa dan mengikuti langkah-langkah orang yang berjaya sehingga mampu membina jenama sendiri,” katanya lagi.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui harga pakej yang ditawarkan atau ingin membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 012-878 7926, Facebook (Justin Williamson Ujang II/page Justin Williamson Make-Up Artistry), Instagram (official.page_ encikmakeupartist) dan TikTok (@ muajustin).