Kisah pengangguran tiada penamat

PENGANGGURAN dalam kalangan masyarakat Malaysia bukan perkara baharu. Bahkan satu masalah yang masih belum menemui jalan keluar.

Ramai yang mengeluh, ramai yang mencadangkan pelbagai usaha untuk menangani isu ini dan tidak kurang yang sering memuat naik keluhan demi keluhan mereka dalam laman sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Penganggur

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pada suku pertama 2019, negara kita merekodkan seramai 516,600 penganggur.

Ini termasuk golongan siswazah yang menjadi harapan keluarga masing-masing, namun mereka tergolong dalam kelompok kumpulan isi rumah terendah, B40 dan keluarga miskin.

Tanpa pekerjaan atau sumber kewangan yang setimpal, bagaimana lulusan universiti ini mampu membantu keluarga mereka keluar daripada belitan kemiskinan? Pengangguran bukan sahaja menjadi masalah kepada individu itu sendiri, malah memberi kesan kepada keluarga mereka.

Sedar akan hakikat tersebut, apa yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menangani isu berkenaan?

Graduan kita sering dibelenggu beban hutang PTPTN dan pengangguran. Bahkan ada antara masyarakat kita menganggap ‘belajar tinggi’ itu tidak lagi penting. Hal ini kerana segelintir daripada ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka melanjutkan pelajaran kerana stigma belajar tinggi akhirnya menganggur. Atau tidak mendapat pekerjaan setimpal dan sebagainya.

Jadi, apakah nasib generasi muda kita pada masa depan? Mampukah kita mewujudkan generasi yang berilmu? Pengangguran ini umpama virus yang melekat dalam masyarakat kita dan masih belum menemui penawar.

Golongan muda sering mengaitkan isu pengangguran ini dengan pesara khususnya dalam sektor awam.

Untuk pengetahuan, umur persaraan penjawat awam di Malaysia sudah mengalami perubahan sebanyak tiga kali dalam tempoh 20 tahun ini. Kali pertama, had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.

Usia persaraan

Tujuh tahun kemudian pada 2008, usia persaraan dilanjutkan lagi daripada 56 tahun kepada 58 tahun. Manakala empat tahun selepas itu pada 2012, had usia persaraan mengalami perubahan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Had umur persaraan ini dikatakan membataskan peluang pekerjaan dalam sektor awam, khususnya para belia. Ia dikaitkan dengan kekosongan sesuatu jawatan, sekiranya para penjawat awam dilanjutkan tempoh bertugas maka tiada kekosongan wujud untuk sewaktu jawatan.

Jadi, sejauh mana dakwaan tersebut benar? Adakah had usia persaraan itu merupakan faktor utama kepada masalah pengangguran?

Selain itu, segelintir masyarakat menganggap para graduan memilih pekerjaan dan tidak mahu memulakan pekerjaan dari bawah.

Bagaimanapun, jika seseorang itu mempunyai ijazah dan menanggung hutang PTPTN, adakah RM1100 itu mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian dan hutang berkenaan?

Atas alasan graduan muda masih belum mempunyai pengalaman yang cukup, mereka tidak mendapat peluang pekerjaan yang setimpal dengan sijil. Jadi, bagaimana pula dengan nasib mereka yang mempunyai tanggungan dalam keluarga?

Hanya membiarkan mereka bekerja untuk mencari pengalaman dengan gaji yang rendah? Masyarakat kita sepatutnya membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia bukan hanya tahu menuding jari dan mencari kesalahan semata-mata.