SAYA telah menulis tiga biografi berkaitan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Dua biografi yang telah berjaya menemui pembaca ialah biografi Tun Abdul Rahman Yakub dan Tun Muhammad Abang Salahuddin Abang Barieng.
Tun Abdul Rahman yang pernah menjadi Ketua Menteri dari 1970 hingga 1981 meninggal dunia pada 2015 ketika berusia 87 tahun.
Beliau memegang jawatan Yang di-Pertua Negeri dari 1981 hingga 1986.
Manakala Tun Salahuddin yang memegang jawatan itu sebanyak dua kali meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 28 Januari 2022.
Bakal menemui pembaca ialah biografi Tun Openg, Gabenor pertama Sarawak selepas kemerdekaan dan pengunduran penjajah British.
Tun Openg menyandang jawatan itu dari 16 September 1963 hingga 28 Mac 1969, tarikh beliau meninggal dunia.
Yang di-Pertua Negeri pertama ini meninggal dunia pada usia 63 tahun ketik masih berada di Astana Negeri.
Buku biografi dua lagi Yang di-Pertua negeri lain telah pun diterbitkan, iaitu Tun Ahmad Zaidi Adruce ditulis oleh Datuk Dr Sanib Said manakala biografi Tun Abdul Taib Mahmud dihasilkan oleh Siva Kumar G.
Dengan itu, hanya seorang sahaja lagi mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang biografinya belum ditulis dan diterbitkan, iaitu Tun Tuanku Haji Bujang Tuanku Othman yang berada di kerusi itu selepas Tun Openg meninggal dunia.
Beliau menjadi Yang di-Pertua Negeri kedua dari 1969 hingga 1977, sebelum diganti oleh Tun Rahman.
Beliau meninggal dunia pada 28 November 1986 pada usia 87 tahun, sama dengan usia Tun Rahman ketika menghembuskan nafas terakhir.
Kita tentu ingin melihat biografi beliau yang banyak berjasa kepada Sarawak termasuk menubuhkan parti BARJASA juga dapat diterbitkan dalam waktu terdekat. Menulis biografi bagi saya bagai perjalanan 10,000 batu.
Penulis perlu melakukan banyak penyelidikan di perpustakaan dan akrib, termasuk menggeledah segala fail, dokumen, surat, surat khabar, buku dan seumpamanya.
Selain itu, penulis juga perlu mengunjungi tempat lahir, malah kubur keluarga si mati dan keluarganya.
Malah, menulis biografi pelbagai tokoh membawa saya ke luar negara untuk membaca segala dokumen yang disimpan di luar termasuk di London, Singapura dan sebagainya.
Itulah yang saya lakukan ketika menjalankan tugas penyelidikan untuk ketiga-tiga biografi pemimpin ternama Sarawak itu.
Bayangkan kepuasan dan keseronokan membuka fail dan segala macam dokumen penting dan bersejarah berkaitan tokoh berkenaan di arkib dan perpustakaan di London?
Sukar dilukiskan dengan kata-kata.
Hakikatnya, tidak ramai yang bersedia untuk melakukan tugas ini kerana ia memakan banyak masa, meletihkan, memerlukan kemahiran menyelidik dan menulis serta menemu bual mereka yang ada kaitan dengan tokoh.
Ya, apatah lagi jika anda mahu menghasilkan biografi yang serius dan tebal walaupun sebenarnya sukar untuk menulis biografi yang serba lengkap.
Ada penulis biografi di luar negara yang mengambil masa tujuh tahun semata-mata untuk menyelidik.
Pada Januari 2022, Guinness World Records mencatat bahawa biografi paling tebal yang pernah diterbitkan ialah In Search of Lost Time (À la recherche du temps perdu) karya Marcel Proust.
Meskipun karya ini sebenarnya merupakan sebuah novel, bukan biografi, tetapi masih sering dianggap sebagai salah satu karya sastera paling panjang yang pernah ditulis.
In Search of Lost Time terdiri daripada tujuh volume dan memuat lebih 4,000 halaman dalam edisi aslinya. Buku Harian Anne Frank mungkin salah satu biografi paling terkenal.
Buku ini merupakan catatan harian Anne Frank, seorang gadis Yahudi Jerman yang menyembunyikan diri bersamasama keluarganya selama holokus daripada kejaran Nazi.
Catatan harian ini memberikan pandangan yang mendalam tentang kehidupan sehari-hari mereka selama bersembunyi di Amsterdam.
Selain itu, beberapa biografi lain yang sangat terkenal termasuk The Diary of Malcolm X yang memaparkan kisah hidup Malcolm X, tokoh hak asasi manusia dan aktivis Amerika; The Autobiography of Benjamin Franklin, yang menceritakan kehidupan salah satu pengasas Amerika Syarikat, Benjamin Franklin; dan Long Walk to Freedom karya Nelson Mandela, mantan Presiden Afrika Selatan, yang menceritakan perjuangannya melawan apartheid dan peranannya dalam membangun demokrasi di negara tersebut juga mendapat sambutan hangat.
Saya sempat menemu bual Tun Rahman dan Tun Salahuddin ketika hayat mereka, malah pernah dibawa untuk melihat segala sudut dan ruang di dalam Astana Negeri oleh Tun Salahuddin, kecuali bilik tidurnya.
Beliau memberi saya tempoh tiga bulan untuk menyiapkan kisah hidupnya itu, sesuatu yang berjaya saya siapkan seperti yang diminta.
Selepas siap, satu kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah, beliau membuka sendiri buah durian untuk saya dan membawa saya makan makanan laut di Buntal, Santubong.
Masa bertahun-tahun diambil untuk menyelidik dan menulis, serta menunggu masa yang sesuai sebelum biografi dapat diterbitkan dan diedarkan.
Justeru, bukan mengejutkan jika biografi Tun Openg dan Tun Rahman hanya menemui pembaca selepas 15 tahun.
Tujuan penulisan biografi adalah memberikan gambaran menyeluruh tentang kehidupan seseorang.
Biografi sering kali ditulis untuk menginspirasi pembaca dengan cerita kehidupan yang penuh perjuangan, kejayaan atau kegagalan.
Jatuh bangunnya seseorang dalam kehidupan dan kerjayanya.
Kisah-kisah ini dapat menjadi sumber motivasi bagi pembaca untuk mengatasi rintangan dan meraih tujuan mereka.
Biografi membantu mengabadikan sejarah peribadi seseorang.
Ini mencakup segala butir tentang keluarga, pendidikan, karier, dan peristiwa penting lainnya dalam hidup individu tersebut.
Sebagai hasilnya, informasi ini dapat menjadi warisan berharga bagi generasi mendatang.
Melalui biografi, pembaca dapat memahami lebih dalam tentang keperibadian dan nilai-nilai yang mendasari kehidupan seseorang.
Ini membuka jendela ke dalam pemikiran, perasaan, dan motivasi individu tersebut.
Biografi sering digunakan sebagai alat pendidikan.
Kehidupan seseorang dapat menjadi pelajaran hidup, baik dalam konteks sejarah, budaya, atau nilai-nilai tertentu yang dapat dipelajari daripada pengalaman mereka.
Selain memberikan wawasan dan pembelajaran, biografi juga dapat berfungsi sebagai bahan bacaan yang menghiburkan.
Cerita kehidupan melalui anekdot yang dipaparkan yang menarik dapat menarik perhatian pembaca dan menyediakan hiburan sekali gus.
Sebenarnya, biografi juga sering menyoroti sumbangan signifikan seseorang dalam berbagai-bagai bidang seperti seni, ekonomi, pendidikan, sukan, politik atau sosial.
Hal ini membantu untuk menyedarkan pembaca akan dampak positif yang dapat dihasilkan oleh individu terhadap masyarakat.
Menulis biografi sesuatu yang penuh cabaran, sekali gus memberi banyak pengajaran dan motivasi kepada penulis.
Penulis biografi yang baik harus tekun, sabar, mahir dari segi teknik dan bahasa, serta menguasai sejarah.
Penulisan biografi tokoh di Sarawak perlu digalakkan.
Dana yang mencukupi perlu disediakan untuk tujuan itu kerana setakat ini mungkin tidak lebih daripada 20 tokoh pelbagai bidang pernah ditulis kisah hidup mereka.
Kita tentu perlu menghargai jasa dan sumbangan mereka.
Kita juga tentu mahu memetik mutiara kearifan daripada mereka ketika kita mengharungi kehidupan pada hari ini dan masa depan.
Jangan sampai anak muda tidak tahu tokoh yang telah membina nama dan menyumabng kepada kemajuan Sarawak dan negara ini.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.
