Kisah perit kelompok M40

“ GAJI RM6,500 sekarang tiada nilai, tiada harga!” Itu rungutan seorang sahabat pada hujung minggu lalu.

Beliau yang menjawat jawatan kelompok pertengahan kerajaan mengadu demikian ketika kami duduk berdua di sebuah warung di Kuching.

Katanya, situasi Covid-19 yang melanda kini memang merumitkan.

“Aku terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian. Tiada lagi istilah untuk melangkah ke pusat beli-belah atau ke restoran,” katanya.

Tegasnya, tidak ramai yang sedar bahawa mereka yang terjejas teruk akibat bencana Covid-19 kini ialah golongan pertengahan, M40.

“Apabila anak tidak bersekolah, termasuk yang tadika, bermakna mereka akan tinggal di rumah.

Dahlah terpaksa membayar yuran tadika, terpaksa juga mengupah pengasuh untuk menjaga mereka di rumah.

Kami suami isteri bekerja,” adunya dengan wajah sugul. Perbelanjaan juga meningkat apabila anak-anak berada di rumah.

Bil utiliti melambung tinggi, belanja makan terpaksa menggunakan penghantar makanan dan pelbagai urusan tambahan membebankan.

“Kami serupa dengan B40 sekarang,” katanya yang bercadang mencari kerja tambahan bagi menampung kesempitan perbelanjaan.

Apa yang dialami oleh sahabat saya itu merupakan realiti hidup sebenar yang dialami oleh kebanyakan kelompok M40 di negara ini.

M40 merupakan kumpulan isi rumah yang berpendapatan RM4,850 hingga RM10,959.

Manakala kelompok B40, adalah kalangan yang memperoleh pendapatan isi rumah RM4,849 ke bawah.

Di negara ini, kelompok B40 mewakili 40 peratus penduduk, manakala 40 peratus yang lain adalah dalam kalangan M40.

Kelompok yang berstatus T20 atau yang berpendapatan isi rumah melebihi RM10,959 mewakili 20 peratus populasi.

Ini berdasarkan statistik penduduk Malaysia pada tahun 2019. Dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berlangsung hingga hujung tahun, ramai dalam kelompok M40 dan B40 yang terjejas.

Malah tidak sedikit daripada kelompok M40 yang bertukar status menjadi B40.

Puncanya, ramai yang hilang kerja, dipotong gaji, diberi gaji separuh, dipaksa cuti tanpa gaji dan sebagainya, yang menyebabkan mereka tertekan.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu, jumlah mereka yang diberhentikan kerja sejak Mei lalu telah menjangkau 820,000 orang.

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah diambil bagi membantu kelompok ini, agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dan memperoleh pekerjaan selepas ini.

Malah untuk tujuan itu, Majlis Pekerjaan Negara telah ditubuhkan, dengan dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin sendiri bagi merancang strategi untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi.

Untuk rekod, pada 23 September, ketika mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional 2.0, Kerajaan telah mengumumkan bantuan RM1000 untuk keluarga B40, yang dimanfaatkan 3.7 juta keluarga.

Manakala kelompok keluarga M40, menikmati bantuan RM600 yang dimanfaatkan 1.4 juta keluarga, sementara 1.4 juta individu bujang menikmati bantuan RM300.

Kata sahabat saya lagi, tekanan kewangan menyebabkan dia dan rakan-rakannya yang lain kini mula berhati-hati berbelanja.

“Kami mengunjungi kedai bundle dan kedai terpakai untuk pakaian. Gaya hidup berubah terus.

“Saya malah memberi amaran kepada isteri agar berhati-hati berbelanja. Usah beli barang-barang secara dalam talian, yang tidak perlu,” katanya kusut.

Malah tiada istilah ‘makan luar’ kecuali bila benar-benar terdesak.

Kenyataan sahabat saya ini membayangkan realiti hidup golongan M40 yang terhimpit, kerana mereka tidak tersenarai dalam kelompok yang diberikan bantuan.

Malah mereka perlu menyelesaikan banyak perkara, termasuk hutang rumah, kenderaan dan sebagainya, selain pendidikan biarpun hakikatnya duit di tangan begitu menipis.

“Apabila kami tidak berbelanja di pusat beli-belah, bermakna pendapatan peniaga di sana juga terjejas. Jika pendapatan terjejas, mereka terpaksa gulung tikar kerana terpaksa menanggung kos tinggi termasuk sewa premis, walhal pendapatan menjunam teruk.

Maka apabila kedai tutup, maka makin ramai yang tidak bekerja.”

Untuk itu katanya, pihak berwewenang perlu memikir secara mendalam akan perkara ini.

Dunia sudah tunggang terbalik dan kerajaan perlu berantisipasi dengan situasi ini.

“Mereka perlu sedar bahawa pemain utama ekonomi negara pada hari ini ialah kelompok M40 yang berani berbelanja, yang akan membantu membuka semula aliran wang dalam ekonomi negara,” tambahnya lagi.

Keperitan kelompok M40 ini memerlukan perhatian dan tumpuan.

Mereka sebenarnya turut berhadapan kekangan, kerana kehidupan tidak lagi seselesa dahulu.

Sesuatu perlu dilakukan, kerana jika mereka menjadi pasif dalam kehidupan dan enggan berbelanja, maka banyak rantaian ekonomi akan terjejas.

Ini akan menyebabkan pelbagai impak lain. “Kami juga perlukan pembelaan,” katanya menyeka air mata, di akhir pertemuan kami.

Besar sungguh harapannya agar luahannya dapat didengari.

Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media
Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.

Suara Sarawak