ARTIKEL

Kisah politik di Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GENDANG perang untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak sudah dipalu dengan penamaan calon pada Sabtu lalu.  

Jepak ialah satu daripada empat kerusi di bawah Parlimen Bintulu.

Kerusi DUN lain ialah Kemena, Tanjong Batu dan Samalaju.

Kesemua empat kerusi DUN berkenaan dikuasai GPS.

Memahami sejarah lalu di DUN ini tentu dapat memberi gambaran bagaimana trend pengundian pada 4 November nanti. PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru berbanding empat penjuru dalam PRN lalu. 

Seramai 22,804 pengundi termasuk 43 pengundi pos akan menentukan nasib tiga calon terbabit nanti, lebih kurang dua minggu dari sekarang. 

Seyogia diingatkan, DUN ini mula dipertandingkan pada 1969, dan dalam enam penggal lalu kerusi itu menjadi kubu kuat BN, dan kemudiannya GPS setelah BN Sarawak keluar daripada BN Pusat pada 2018 susulan kekalahannya di peringkat nasional dalam PRU-14. 

Kerusi itu kosong susulan kematian penyandang Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.  

Talib mulai bertanding di kerusi itu sejak 1996 atas tiket PBB-BN dengan memenangi 88.26 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru ketika beliau menentang dua calon Bebas, iaitu Awang Abdullah Awang Nasar dan Dick Winie.

Kedua-dua calon berkenaan hilang wang pertaruhan apabila Talib memenangi 5,892 undi.

Kemudian, dalam PRN pada 2001, Talib menang sekali lagi dengan meraih 74.31 peratus undi. 

PRN itu menyaksikan pertandingan empat penjuru, menentang calon DAP dan dua calon Bebas.

Seorang calon Bebas berjaya meraih 18.01 peratus undi, manakala calon DAP, Wan Saimi Wan Dahlan hanya mendapat 4.92 peratus undi. Pada PRN 2006 pula, sekali lagi Talib menang.

Pertandingan untuk penggal ketiga itu menyaksikan Talib bertembung secara langsung dengan calon DAP yang tewas pada PRN 2001 sekali lagi. 

Pada PRN 2016, peratusan undi yang diperoleh beliau naik sebanyak 6.74 peratus dengan merekodkan 68.82 peratus undi keseluruhan. 

Dalam PRN berkenaan, Talib ditentang empat calon lain daripada PKR, PAS, STAR dan Bebas. 

Pada 2021 pula, peratusan undi beliau sedikit mengukuh berbanding PRN sebelumnya dengan mendapat 69.44 undi.

Dalam PRN berkenaan, tiga calon menentang beliau, iaitu calon PSB, PBK dan calon Bebas. 

Jumlah pengundi terus meningkat di DUN Jepak, iaitu sebanyak 10,700 (1996), 11,814 (2001), 12,049 (2006), 12,979 (2011), 13,789 (2016) dan 14,643 (2021).

Namun, peningkatan begitu ketara pada PRK ini apabila jumlah pengundi berdaftar meningkat kepada 22,804 ekoran pendaftaran automatik pengundi 18 tahun ke atas.

Jika ditinjau dari segi peratusan yang turun mengundi, DUN Jepak pernah merekodkan hanya 57.30 peratus orang yang keluar mengundi pada 2016 dan 69.36 peratus pada 2021.

Lima kali pilihan raya menyaksikan peratusan yang turun mengundi dalam lingkungan 60 peratus. 

Adakah kali ini kita sekali lagi menyaksikan peratusan tidak melebihi 60 peratus sekali lagi?

Ingat, DUN ini boleh dikatakan merekodkan peratusan turun mengundi yang agak rendah kerana tidak pernah mencecah 70 peratus.

Berdasarkan prestasi calon sebelum ini, jelaslah ini merupakan kubu kuat BN/GPS.

Sebab, tidak pernah mana-mana calon yang menentang calon parti yang membentuk kerajaan mampu merekodkan 30 peratus undi. 

Paling tinggi pun pada PRN 2006 apabila merekodkan 26.68 peratus undi.

Saya jangkakan keadaan yang sama akan berlaku pada kali ini.

Calon Aspirasi dan PBK tidak akan mampu meraih lebih daripada 30 peratus undi.

Dari awal lagi, calon Aspirasi, seorang ahli perniagaan Chieng Lea Ping mengakui tiada peluang memenangi kerusi itu kerana GPS pasti akan menang kerusi itu.

Jadi, apakah tujuan beliau bertanding?

Adakah sekadar memeriahkan demokrasi?

Atau untuk memastikan Aspirasi sebagai parti semut akan terus kekal dalam ingatan pengundi?

Bagi calon PBK pula, Stevenson Joseph Sumbang pula, ini bukanlah kali pertama beliau mencuba nasib adalah pada PRN lalu. 

Dalam pilihan raya itu, Stevenson hanya meriah 6.49 peratus atau 587 daripada 14,643 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan. 

Tentu sukar untuk parti yang hanya muncul menjelang pilihan raya itu meyakinkan pengundi, mengapa beliau harus dipilih untuk mewakili sekitar lebih 35,000 penduduk di kawasan itu.

Meskipun ada isu tempatan yang bakal dieksploitasikan oleh dua calon lawan itu, tetapi kehadiran calon GPS daripada PBB, Iskandar Turkee yang berusia 54 tahun tentu menggerunkan mereka. 

Apatah lagi, dengan sokongan padu daripada parti komponen GPS tentu sukar bagi calon lawan menyaingi Iskandar.

Berdasarkan fakta di atas, sudah terang lagi bersuluh, kita sudah dapat ramalkan bagaimana keputusannya pada malam 4 November nanti.

Bagi GPS meskipun semua pihak meramalkan calonnya akan menang mudah, namun ini tidak bermakna ia boleh mengambil mudah PRK ini. 

Imej dan reputasi menjadi pertaruhan.

Yang penting, calonnya perlu menang besar, sebaik-baiknya dalam lingkungan hampir 90 peratus seperti yang pernah direkodkan oleh Talip ketika beliau mulai bertanding di kawasan ini pada 1996. 

Kemenangan besar akan menghantar mesej yang positif kepada rakyat di negara ini tentang kekuatan GPS di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

LAIN-LAIN BERITA

Bahasa itu senjata, kata adalah peluru

LEGENDA perang dunia, Napoleon Bonarparte yang juga Maharaja Perancis dan Raja Itali sentiasa berpegang kepada kata-kata keramatnya; “Mata pena lebih tajam daripada 1,000 mata pedang.”

Tidak ada duit ketika jadi ahli parlimen

MENJADI ahli parlimen pada usia 26 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan bagi dirinya. Sejak di universiti memang beliau memasang impian untuk memasuki politik, namun beliau

Cara indah hargai orang

KETIKA lepak santai-santai sambil minum teh panas di sebuah kedai makan, perbualan kami lepasan sekolah menengah di Kuching rancak tentang kejadian banjir kilat melanda Kuching,

Sarawak dahului inisiatif tenaga hijau

DALAM usaha untuk mengejar kelestarian alam dan kemajuan ekonomi, inisiatif tenaga hijau telah menjadi fokus utama bagi banyak negara. Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk

Impak medsos dalam Pilpres 2024

PASANGAN Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka terus unggul dalam kiraan sebenar (real count) bagi keputusan Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU). Menurut media

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

BERITA TERBARU