Kita sik maok dimain-main!

BUNGIN: Kerajaan Sarawak di bawah teraju GPS bertegas tidak akan berkompromi dengan mana mana perkara melibatkan hak dan kepentingan Bumi Kenyalang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak tidak akan memihak kepada mana-mana pihak biarpun kini terdapat desas-desus atau fitnah yang mengaitkan GPS dengan pakatan baharu di Semenanjung.

“GPS akan tetap dengan pendirian seperti sebelum ini. Kita bebas. Kita tidak akan memihak kepada mana-mana pihak.

“Namun, mana-mana dasar Kerajaan Persekutuan yang memberi kebaikan kepada Sarawak, kita sokong. Tetapi jika ada perkara yang akan menjejaskan hak dan kepentingan Sarawak dan rakyat, maka kita tidak akan berkompromi.

“Jangan cakap macam-macam, kita sik maok dimain-main,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Jerayawara GPS Peringkat Kampung Bungin, di sini, semalam.

Misalnya dalam isu saman Petronas jelasnya, Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan ke atas syarikat gergasi itu wajar dan Petronas sepatutnya mematuhi undang-undang tempat mereka bertapak.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak termakan pujuk rayu wakil parti Semenanjung di Sarawak.

“Mereka mempunyai ideologi berbeza, ibarat tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

“Jadi, orang tempatan yang menyokong mereka (PKR, DAP, Amanah dan sebagainya) sebenarnya terpaksa akur dengan kepimpinan di sana. Ini berbeza dengan GPS.

“Sebab itu saya tegaskan, kalau kita sayangkan Bumi Kenyalang kita harus bersama-sama GPS.

Kita harus bersatu!

“Bayangkan kalau Sarawak dikuasai PH, tidak mustahil semua hak kita akan hilang.

“Percayalah, hanya pemimpin Sarawak khususnya GPS yang lebih mengetahui keperluan orang kita. Paling penting GPS akan memperjuangkan hak dan kepentingan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu memuji semangat orang Saribas kerana mempunyai azam tinggi untuk memastikan kawasan ini kekal menjadi kubu kuat GPS.

Suara Sarawak