Kita tak boleh gagal

KUCHING: Sarawak bakal menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Sri Michael Manyin Jawong berkata, usaha itu akan bermula tahun hadapan bagi sekolah darjah satu sebelum beralih ke peringkat seterusnya di sekolah menengah.

“Kita tidak boleh gagal kerana kita menjadi yang pertama dan menjadi suri teladan dan kemudian bakal diikuti negeri lain.

“Ini satu cabaran besar bagi kita. Kita sudah terima cabaran ini dan kita perlu jayakannya,” tegas Michael.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Gerak Masa ‘Terima Kasih Cikgu’ sempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di Mydin Petra Jaya di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ialah mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahudin Abang Barieng dan isteri Toh Puan Norkiah Abdullah, serta Ketua Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad.

Dalam pada itu, Michael berkata beberapa aspek juga akan diteliti bagi memastikan langkah itu berjaya.

Antaranya, jelas beliau, kemampuan dari segi jumlah guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya, ini termasuk latihan yang bakal diberikan kepada guru terlibat, selain bahan pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek terbabit.

“Oleh itu, saya merayu semua guru, ibu bapa dan komuniti supaya sama-sama menyokong usaha ini bagi menjayakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran Matematik dan Sains di Sarawak,” katanya.