Kito Kabong kelaka Kabong

KABONG: Istilah luar bandar bukan alasan warga penduduk untuk tidak mengenali apa itu perkembangan digital yang sedang berlaku hari ini.

Generasi muda perlu bijak mengadaptasikan kemudahan media sosial di samping mengekalkan bahasa ibunda agar tidak di telan zaman.

Perkara ini dikongsikan oleh bekas wakil Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak, Asri Mostapha, 32, ketika ditemui Suara Sarawak di Kampung Debak. Dalam pertemuan itu, Asri atau dikenali sebagai ‘Pak Wo’ menceritakan bagaimana video ya ng dikongsikan di laman Facebooknya boleh mencecah hampir satu juta tontonan.

Menurutnya, video bertajuk Kito Kabong Kelaka Kabong (Warga Kabong bertutur Kabong) itu sebenarnya dibuat bagi menceritakan perasaan risaunya terhadap bahasa ibunda khususnya bahasa Kabong.

Menurutnya, bahasa itu bakal lupus berikutan pendedahan bahasa moden banyak digunakan generasi muda masa kini.

Menariknya, Asri yang berminat dalam bidang lakonan serta pengacaraan mempraktikkan bahasa tradisional Kabong pada setiap video yang dihasilkan di samping memberi pendedahan kepada orang awam tentang keunikan bahasa-bahasa yang terdapat di Sarawak.

“Apa yang saya lihat masa kini di Kabong sudah mempunyai dua versi bahasa Kabong yang terdiri daripada bahasa moden dan bahasa tradisional.

“Versi yang lama seperti perkataan jamban retak (tandas) dan serebo (dahulu kala), tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan perkataan toilet.

“Jadi sekiranya orang kampung tidak memartabatkannya, siapa lagi yang akan mengekalkan bahasa tradisional ini untuk generasi muda yang akan datang?” soalnya.

Sebagai penduduk luar bandar, sememangnya sukar untuk mendedahkan diri kepada dunia luar terutamanya dari segi bahasa, bakat dan juga produk-produk hasil buatan penduduk kampung.

Asri mengambil inisiatif mempelajari cara membuat sketsa dan video pendek melalui YouTube dan ilmu pendedahan daripada pihak sekolah iaitu pelajar luar kampung diajar untuk mempelajari akses asas penggunaan Internet.

Hasilnya, ideanya tercetus untuk memperkenalkan bahasa tradisional Kampung Kabong kepada pengguna laman sosial melalui laman Facebooknya iaitu TV Kabong yang kini mencecah 27,000 orang pengikut.

Beliau juga berniat mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik antara penyumbang sokongan moral untuk Asri mula menceburi bidang pembuatan video dan dokumentari ringkas dengan lebih mendalam.

Selain itu, minat menuntut ilmu yang tinggi juga menyebabkannya terjebak dalam aktiviti-aktiviti tersebut.

Justeru, Asri berhasrat untuk membuat satu kumpulan anak seni di Bahagian Betong untuk memberi pendedahan kepada mereka agar berani untuk menampilkan diri ke khalayak ramai serta mengetengahkan bahasa Kabong kepada dunia luar.

Merupakan Penasihat Kelab Anak Murid Islam di kampungnya, Asri kerap kali mengadakan aktiviti keagamaan dengan menyuruh anak-anak muda berkumpul untuk menghidupkan suasana Islam di masjid dan surau kampung.

Asri juga seorang perawat perubatan tradisional Islam di Betong.