KJ individu pertama disuntik vaksin Sinovac

REMBAU: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Sinovac hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 keluaran China di Hospital Rembau pada jam 1.30 tengah hari.

Beliau tiba di hospital itu kira-kira jam 1.25 tengah hari dan melalui tiga stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum disuntik dengan vaksin berkenaan oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Rembau, Salha Abd Samad di stesen keempat dan seterusnya diletak di bawah pemerhatian di stesen kelima.

Stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin COVID-19 dan stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi.

Turut menerima suntikan pertama vaksin Sinovac hari ini ialah 10 petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan.

Khairy sebelum itu memaklumkan negara menerima sejumlah 100,000 dos vaksin COVID-19 Sinovac pada Isnin lalu dan bakal menerima jumlah yang sama pada 22 Mac ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb lepas dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech. – BERNAMA

Suara Sarawak