KK Lanang terima ramai individu untuk calitan: Jangan datang serentak, patuhi SOP

SIBU: Orang ramai yang datang untuk menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Lanang dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun semasa dihubungi hari ini berkata, jumlah yang terlalu ramai itu yang datang ke klinik tersebut hari ini amat menyukarkan kakitangannya membuat sebarang kawalan khususnya berkenaan dengan SOP.
“Ya, memang mereka yang datang ke klinik itu untuk menjalani saringam terlalu ramai.

Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun

“Agak sukar untuk kami mengawalnya sehingga mewujudkan suasana yang sedikit sukar dikawal,” ujar beliau.
Rentetan itu, beliau turut mendedahkan segelintir mereka yang datang tidak menghiraukan arahan yang diberikan oleh petugas kesihatan dan ia menimbulkan kesulitan.
“Saya berharap pada saringan esok hari (Isnin) ia dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah seperti hari ini,” tegas beliau.
Dr Teh memberitahu, orang ramai yang datang hari ini secara sukarela untuk disaring.
Bagaimanapun beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung dakwaan yang datang itu terlibat menghadiri satu majlis pengebumian di Rumah Langi Ambau di Pasai Siong pada 29-31 Disember lalu susulan wujudnya Kluster Pasai.
“Itu saya tidak tahu tetapi siapa yang datang hari ini akan tetap menjalani ujian saringan seperti diberitahu sebelum ini,” tambah beliau.
Beliau memberitahu kaunter saringan itu ditutup pada jam 12 tengah hari tadi.
Dr Teh juga menggesa orang ramai agar sentiasa bersabar dan mematuhi SOP dan arahan yang dikeluarkan di klinik berkenaan.
“Klinik Kesihatan Lanang ini dibuka setiap hari dan rancanglah masa untuk pergi kerana perkhidmatan saringan ini disediakan kepada semua orang,” tambah beliau.

Tinjauan mendapati orang ramai sudah mula mengerumuni perkarangan Klinik Kesihatan Lanang sebelum jam 9 pagi lagi.
Agak sukar memastikan sama ada yang datang itu adalah individu yang mengunjungi majlis pengebumian yang mencetuskan Kluster Pasai kerana jumlah yang datang sangat ramai.
Tidak dapat dipastikan kerana pihak media juga mengamalkan langkah-langkah berjaga dalam membuat liputan ini.
Pada Sabtu, ekoran kewujudan Kluster Pasai Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu menggesa orang ramai yang ada menghadiri majlis pengebumian di Rumah Langi, Pasai Siong pada tempoh 29-31 Disember lalu supaya tampil membuat ujian saringan dan pemeriksaan Covid-19 di dua klinik iaitu di Klinik Kesihatan Lanang dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengahari hari ini.
Ujian saringan dan pemeriksaan Covid-19 itu juga masih dijalankan esok (Isnin) hingga Jumaat (11-15 Januari) dari jam 8 pagi hingga jam 4.30 petang di kedua-dua klinik tersebut.
TUMPUAN RAMAI…Antara yang tampil membuat pemeriksaan dan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Lanang.