KUCHING: Projek pembinaan baharu Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kampung Hilir Bintawa bernilai hampir RM1 Juta dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari tahun depan.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, pertukaran kerajaan pada 2018 terdahulu menyebabkan projek tersebut terbengkalai susulan peruntukan pembinaannya ditarik balik.
Jelas beliau, proses pembinaannya kini bermula semula selepas beberapa kali terbengkalai akibat wabak Covid-19.
“Setakat ini, kita dalam usaha mempercepatkan proses pemasangan pagar besi di sekitar kawasan bangunan baharu ini supaya barang-barang penting di bangunan lama dapat dipindahkan ke sini.
“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya pihak yang ditugaskan dapat mempercepatkan gerak kerja mereka. Saya turut difahamkan kerja-kerja tersebut tertunda akibat pekerjanya turut mengalami masalah covid-19,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di tapak bangunan baharu KKIA Kampung Bintawa Hilir, di sini hari ini.
Dedahnya, setakat ini bangunan lama klinik masih diguna pakai sementara menunggu pembinaan bangunan baharu yang dapat menampung kira-kira 15,000 penduduk di sekitar kampung kawasan Darul Hana iti selesai.