KUCHING: Setakat ini, tiada doktor kontrak di Sarawak yang memohon cuti kecemasan mahupun cuti sakit bermula 3 hingga 5 April, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Bagaimanapun menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau rapat perkembangan semasa isu kumpulan doktor kerajaan yang merancang untuk mengadakan mogok dengan mengambil cuti kecemasan/ sakit dalam tempoh tersebut sebagai tanda protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah.
“Saya tidak dapat mengatakan bahawa ada atau tidak berlakunya mogok tersebut di Sarawak kerana perkara tersebut sangat subjektif.
“Namun setakat ini saya dimaklumkan belum ada lagi sebarang permohonan cuti dalam kalangan doktor di Hospital Umum Sarawak (HUS) atau mana tempat mahpun bahagian di negeri ini.
“Tetapi KKM akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke HUS di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sibuti itu berkata pihaknya setakat ini hanya mendapat maklumat mengenai cadangan untuk mengadakan mogok tersebut melalui platform media sosial.
“Saya ingin menegaskan bahawa KKM terutama menterinya, Dr. Zaliha Mustafa memang sedang giat menjalankan perbincangan secara berkala dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Antara perkara yang dicadangkan adalah meningkatkan kepakaran dan setakat ini kerajaan telah meluluskan untuk menambah sebanyak 800 doktor pakar kepada KKM setiap tahun,” jelasnya.
Terdahulu, kumpulan doktor kontrak di negara ini tegas ingin melancarkan mogok bermula 3 hingga 5 April ini ini kerana tidak lagi percaya dengan kepimpinan KKM dalam menjaga hak mereka.
Pengendali akaun @mogokdoktormalaysia mengatakan mereka kecewa dan mendakwa kerajaan tidak menganggap seperti manusia, oleh kerana itu mogok selamat tiga hari itu akan tetap dilakukan melibatkan sekitar 10,000 doktor di seluruh Malaysia.
Penganjur kempen mogok doktor kontrak menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi hospital awam dan klinik-klinik kesihatan pada minggu depan kerana mereka berkemungkinan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.