KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memulakan jelajah eksplorasi Lebuh Raya Pan Borneo hari ini bagi melihat perkembangan terkini projek tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jelajah tersebut bermula dari Kuching sehingga Miri selama dua hari selain turut membuat persinggahan di beberapa kawasan bagi memantau perkembangan terkini projek tersebut.
“Ini adalah usaha dan persiapan untuk memastikan laluan ini dalam keadaan baik kerana bulan depan seperti yang kita diberitahu, Yang di-Pertuan Agong akan datang melawat dan menjelajah Pan Borneo bermula Sabah hingga ke Telok Melano.
“Jadi selama dua hari ini, dari Kuching ke Miri nanti adalah bertujuan untuk memastikan keadaan jalan ini siap.
“Mana-mana yang belum siap, sekurang-kurangnya pastikan faktor keselamatan dan keselesaan jalan ini kita pastikan,” katanya ditemui media selepas menyempurnakan Jelajah Pan Borneo Trunk Road bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pusat beli belah Farley, di sini hari ini.
Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, tujuan jelajah tersebut adalah untuk mendapat pandangan pertama terhadap perkembangan projek lebuh raya tersebut.
Menerusi jelajah tersebut, jelasnya, maklumat terkini berhubung projek pembinaan lebuh raya tersebut dapat disampaikan kepada orang ramai.
“Terdapat keperluan untuk menyampaikan kepada orang ramai berkenaan kemajuan terkini Lebuh Raya Pan Borneo.
“Ia adalah projek yang besar untuk kita, kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana projek ini memberi perubahan kepada rakyat Sarawak,” ujarnya.