
KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima RM8.136 bilion peruntukan bagi tahun 2023, kenaikan 11 peratus berbanding RM7.306 bilion yang diterima pada tahun 2022.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah bajet mengurus pula diluluskan sebanyak RM865.27 juta, berbanding RM823.5 juta yang diterima untuk tahun 2022.
Manakala bajet pembangunan tahun 2023, katanya diluluskan adalah sebanyak RM7.270 bilion berbanding RM6.483 bilion pada tahun 2022.
“Secara keseluruhan, Bajet 2023 merupakan kesinambungan usaha kerajaan memulih dan memantapkan ekonomi negara pasca-Covid-19.
“Kita yakin ia mampu menjadi pemangkin Keluarga Malaysia mendepani cabaran membina semula daya ketahanan ekonomi negara.
“Ternyata, komitmen kerajaan jelas dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terus diberi keutamaan, manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan dalam fasa pemulihan dan pertumbuhan ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya bajet tersebut juga menyaksikan kerajaan bersetuju meneruskan projek-projek mega berimpak tinggi dengan kos RM16.5 bilion termasuk bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR), Landasan Kereta Api Berkembar Gemas – Johor Bahru, Johor Bahru– Singapore Rapid Transit System (RTS) Link dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“KKR juga dipertanggungjawabkan melaksanakan projek pembangunan infra serta terus mengambil inisiatif-inisiatif yang selari dengan hasrat kerajaan untuk mengimbangi pertumbuhan dengan konsolidasi fiskal yang mempunyai impak secara langsung kepada rakyat, penggiat industri pembinaan dan pembangunan sektor pembinaan itu sendiri bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global,” ujarnya.
Tambahnya, selain daripada projek mega, fokus baharu adalah perancangan pembangunan bandar-bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, Indonesia antaranya di Bukit Kayu Hitam Kedah, Kalabakan Sabah serta Tebedu dan Bakelalan, Sarawak dengan kos RM150 juta ringgit.
“KKR juga bertanggungjawab untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu Sarawak ke sempadan Indonesia.
“Malah akan memfokuskan Pembangunan Antara Wilayah untuk memastikan kesejahteraan penduduk Sarawak dan Sabah dengan memberi tumpuan seperti pembinaan sekolah baharu, antaranya SMK Dudong Sarawak dan SMK Nabalu Sabah.
“Keutamaan turut diberikan kepada fasiliti kesihatan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan RM420 juta bagi membaiki hospital dan klinik daif dan penggantian peralatan usang,” jelasnya lagi.