Klinik Kesihatan Siburan diganti

SIBURAN: Projek klinik kesihatan baharu bernilai RM28.7 juta mengakhiri penantian 16 tahun warga kawasan Siburan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pembinaan Klinik Kesihatan Siburan yang baharu itu menggantikan klinik kesihatan lama.

Katanya, Klinik Kesihatan Siburan sekarang berada dalam keadaan sempit dan tidak mempunyai tempat letak kereta mencukupi untuk petugas, ambulans serta orang ramai.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri terpaksa menambah baik struktur bangunan sedia ada bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan dengan kehadiran pesakit mencecah 285 orang sehari.

Jelas Boon Chye, pembinaan dan penyiapan projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Teja CR dan Kuaters adalah untuk menaik taraf perkhidmatan kesihatan primer dan keluarga untuk penduduk sekitar kawasan Siburan selaras dengan KRA negara iaitu menambah baik infrastruktur asas dalam komuniti bandar.

Tambah beliau, projek tersebut meliputi satu blok Klinik Kesihatan (Jenis 3) Teja CR, satu blok kuaters flat kelas G (18 unit kuaters), satu blok kuaters semi-D (dua unit kuaters) akan disiapkan pada Disember 2021.

“Projek menaik taraf perkhidmatan dan kemudahan kesihatan untuk penduduk luar bandar sejajar dengan perkembangan kesihatan dan kejadian wabak penyakit kini.

“Dengan siapnya projek ini, diharap dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keselesaan pesakit dalam mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika upacara pecah tanah pembinaan dan penyiapan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Teja CR dan Kuaters Siburan, semalam.

Boon Chye turut menambah, klinik baharu tersebut akan mampu menampung 500 pesakit sehari.

Katanya lagi, projek pembinaan klinik kesihatan untuk kawasan bandar seperti Tabuan Jaya (Jenis 2), Serian dan Daro serta sembilan klinik luar bandar akan bermula tahun ini.

Boon Chye turut berkata, projek pembinaan Hospital seperti di Petra Yaya dan Sri Aman akan diteruskan tahun ini dan satu hospital di Lawas juga akan dibina.

“Satu blok bangunan di Hospital Miri akan dibina dan satu blok bangunan Hospital di Bintulu yang telah siap akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya.