SIBURAN: Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Tiga (KK3) di Siburan dijangka siap menjelang Oktober tahun ini setelah mengalami kelewatan disebabkan masalah kekurangan pekerja sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni sambil menambah, kontraktor bertanggungjawab telah memberikan jaminan bahawa projek dapat disiapkan tahun ini dan pihaknya menjangkakan ia bakal beroperasi sepenuhnya menjelang 2024.
“Ini merupakan satu projek besar kepada masyarakat di kawasan Siburan dan setelah siap nanti, ia dapat memberikan kemudahan yang lebih banyak kepada pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak Klinik Kesihatan Siburan baharu bersama-sama Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin di sini, hari ini.
Berhubung beberapa isu yang dibangkitkan berkaitan pembinaan KK3 Siburan, Lukanisman berkata kontraktor berdepan masalah di tapak projek disebabkan menggunakan konsep pelan yang telah diluluskan terlebih dahulu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
“Ini kerana elemen elektrik dan reka bentuk projek menggunakan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Semenanjung Malaysia manakala spesifikasi yang diperlukan di Sarawak adalah menggunakan peraturan di bawah Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Di situ memang ada sedikit isu tetapi dapat diselesaikan oleh JKR dan kontraktor dan saya merasakan, pada masa hadapan mana-mana konsep pelan yang direka bentuk oleh JKR Malaysia akan mematuhi syarat-syarat yang diperlukan kepada Sarawak terutama kita menggunakan SEB,” ujarnya.