Kluster baharu, kluster Pujut Satu, Miri dan kluster Jalan Bambangan, Mukah

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini mengisytiharkan dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Pujut Satu, Miri dan Kluster Jalan Bambangan, Mukah.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), sehubungan itu terdapat 47 kluster masih aktif.

“Daripada jumlah tersebut, 13 kluster melaporkan penambahan kes, manakala 34 kluster lagi tidak ada penambahan kes,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan setakat hari ini juga Daerah Matu bertukar dari status Kuning kepada status Merah setelah merekodkan 42 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Merah meningkat kepada 14 daerah dan daerah berstatus Kuning menurun kepada 16 daerah.

“Manakala, lima daerah kekal berstatus Jingga dan lima daerah kekal berstatus Hijau,” ujarnya.

Suara Sarawak