Kluster Icom, Kuching menjadi kluster terbaru diisytiharkan hari ini

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak(JKNS) hari ini telah mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Icom, Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, Kluster Icom melibatkan peserta yang mendapat jangkitan semasa menghadiri satu perjumpaan makan malam di sebuah restoran di City One dan kemudian ke sebuah Bistro di Jalan Song, Kuching pada 13 April 2021.

“Kes ini turut menghadiri satu sesi latihan pada 14 April 2021 bersama-sama beberapa orang penceramah yang datang dari luar Sarawak.

“Selepas siasatan lanjut, peserta-peserta yang menghadiri perjumpaan makan malam tersebut didapati bekerja di agensi penasihat pengurusan hartanah yang bertempat di Icom Square, Jalan Pending, di sini,” katanya.

Tambah JPBN, indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-23,951 yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 20 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di sebuah hospital swasta di Kuching pada 18 April 2021.

Dalam pada itu, JPBN memaklumkan bagi jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 54 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 kluster telah merekodkan 26 penambahan kes baharu manakala 43 kluster tidak merekodkan penambahan kes,” ujarnya.

Suara Sarawak