Kluster Pasai kini jangkiti enam generasi – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Kluster Pasai yang melibatkan jangkitan COVID-19 di beberapa daerah di Sarawak kini telah menjangkiti enam generasi sejak kes pertama dilaporkan pada 9 Jan lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kluster Pasai yang dikesan di Sibu, kini telah membabitkan 58 rumah panjang di Sarawak dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 2,363 kes positif hasil 25,500 saringan yang dilakukan setakat ini.

“Kami juga masih menunggu laporan lengkap daripada makmal sama ada Kluster Pasai adalah mutasi yang dikesan tetapi besar kemungkinan ia adalah mutasi sedia ada iaitu D614G,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata kluster itu berlaku apabila kes indeks yang pulang dari Johor untuk menghadiri pengebumian mendiang bapanya menjalani kuarantin wajib di rumah panjang yang kurang pengasingan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

“Adat pengebumian di rumah panjang ialah selama tiga hari berturut-turut membabitkan pengunjung yang ramai dari rumah panjang lain,” katanya, menambah kluster tersebut turut menjangkiti 46 petugas kesihatan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM mengekalkan sasaran kes harian baharu akan kembali kepada dua angka pada Mei ini.

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki minggu ketiga telah berjaya menstabilkan kes COVID-19 dan mengelakkan lonjakan kes.

“Kami menjangkakan apabila kita sampai pada minggu keempat (PKP) iaitu pada 13 Feb ini ataupun sekarang ini kita dah lanjut hingga 18 Februari, kita mungkin akan melihat penurunan kes.

“Dalam pengiraan kita iaitu empat minggu PKP disusuli dengan PKP Bersyarat, kita mungkin dapat turunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 dari 1.2 kepada 0.6,” katanya, menambah KKM menjangkakan keluk jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan pada Mac atau April ini.

Beliau juga mengulangi gesaan agar rakyat Malaysia untuk terus patuh pada SOP yang ditetapkan dan sentiasa berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.  — BERNAMA

Suara Sarawak