Kluster Pasai terus merebak, Rh Panjang Helena Tanjung Penasu dikena sekatan pergerakan serta-merta

SIBU: Selepas rumah panjang di kawasan Pasai-Siong dikenakan sekatan pergerakan, kini Rumah Helena di Tanjung Penasu pula dikenakan sekatan yang serupa.
Sekatan itu dibuat berkuat kuasa lewat petang ini.
Perkara ini didedahkan oleh Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew menerusi ciapan di laman sosialnya sebentar tadi.
“Daripada 120 kes positif Covid-19 yang dicatatkan Sibu hari ini, 14 daripadanya datang dari Rumah Helena di Tanjung Penasu di Batang Igan/Jalan Quarry.

TUTUP… Kelihatan polis dan petugas JPBBS ketika ‘mengunci’ Rumah Helena petang ini.

“Virus itu dibawa ke Rumah Helena dari Pasai dan difahamkan menular disebabkan ada sesuatu majlis dilangsungkan di Rumah Helena sebelum ini,” tegas Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan itu.
Katanya, tindakan segera diambil untuk menghentikan pergerakan masuk dan keluar dari rumah panjang tersebut walaupun hujan lebat.
“Terima kasih kepada pihak polis dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) atas tindakan pantas mengenakan sekatan pergerakan.
“Kita perlu memutuskan penularan virus ini antara rumah panjang. Setiap daripada kita mesti menjalankan tugas masing-masing.
“Kepada penduduk Rumah Helena, terus kekal berada di bilik anda. Tinggal di rumah dan kekal selamat,” ujar beliau.
Menurut kenyataan rasmi dari JPBN, Sibu hari ini mencatatkan 120 kes dan 78 darinya adalah membabitkan Kluster Pasai.

Suara Sarawak