Kluster Tebedu Mawang dan Kluster Jejalong, kluster baharu diisytiharkan hari ini

KUCHING: Dua kluster baharu telah diisytiharkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini iaitu Kluster Tebedu Mawang dan Kluster Jejalong.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kluster Tebedu Mawang merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan dua buah kampung di Daerah Tebedu.

Kata JPBN, kes indeks kepada kluster ini ialah kes ke-30,942 melibatkan seorang wanita tempatan berusia 47 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tebedu pada 29 April lalu dan didapati positif Covid-19 pada 30 April.

“Kes indeks telah mendapat jangkitan dari komuniti dan telah merebakkan jangkitan kepada ahli keluarga dan kontak rapat serta kontak kasual di tiga buah kampung berdekatan termasuk dua buah sekolah rendah di Daerah Tebedu.

“Hasil pemantauan aktiviti surveilan Influenza Like Illness (ILI) di Klinik Kesihatan Tebedu dan aktiviti saringan pengesanan kes secara aktif ke atas kontak keluarga dan kontak rapat kepada kes indek dan kes positif yang lain, terdapat penambahan sebanyak 17 positif Covid-19,” kata jawatankuasa itu.

Sementara, Kluster Jelalong merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di kawasan Tubau, Sebauh.

Kata JPBN, kes indeks kepada kluster ini ialah kes ke-25,993 melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 75 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala yang dikesan melalui saringan bergejala di Hospital Bintulu selepas dirujuk oleh Klinik Kesihatan Tubau pada 21 April dan disahkan positif Covid-19 pada 22 April.

“Kes indeks telah mendapat jangkitan dari komuniti dan jangkitan telah merebak dalam kalangan penduduk rumah panjang tersebut melalui satu upacara pengebumian yang diadakan pada 09 hingga 11 April.

“Hasil siasatan lanjut dan aktiviti saringan pengesanan kes secara aktif ke atas kontak keluarga dan kontak rapat serta kontak kasual kepada kes indeks dan kes positif yang lain, terdapat penambahan sebanyak 21 kes positif Covid-19,” jelasnya.

Dalam kenyataan yang sama, JKNS turut mengisytiharkan empat kluster tamat iaitu Kluster Depot Imigresen Semuja, Serian, Kluster Lorong Desa Senadin, Miri, Kluster Kampung Baru Hilir, Samarahan dan Kluster Jalan Badarudin, Kuching.

Kata JPBN ia berikutan tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas.

Suara Sarawak