Kolaboratif strategik Serba Dinamik, Politeknik Kuching

KUCHING: Serba Dinamik Holdings Berhad menjalinkan kolaberasi strategik bersama Politeknik Kuching Sarawak (PKS) bermula 21 Mac 2018.

Naib Presiden Projek Khas Serba Dinamik Holdings Berhad Dr Mohamed Ackiel Mohamed berkata, bekas pelajar PKS ada yang berkhidmat dengan mereka tetapi beliau tidak pasti jumlahnya.

“Kita memang ada mengambil pelajar lepasan PKS dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tetapi saya tidak pasti jumlahnya.

“Jika latihan industri, kebiasaannya kita akan mengambil sepuluh pelajar dari bidang dinamik untuk menjalankan latihan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Konvokesyen PKS Ke-27 di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Tambahnya, mereka tidak menempatkan pelajar latihan industri di kawasan pelantar kerana ia memerlukan beberapa sijil khas dan mempunyai risiko.

“Untuk naik ke pelantar, kita perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan ada beberapa perkara lain yang diperlukan.

“Bagaimanapun, pelajar akan didedahkan dengan peralatan yang dibawa balik dari pelantar.

“Mereka akan membuat pengubahsuaian, membaiki dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya, semua kerja baik pulih itu akan dilakukan di bengkel di Bintulu, Miri dan Labuan.

“Kebiasaannya pelajar dari Borneo akan ditempatkan di ketiga-tiga tempat tersebut.

“Kami juga berada di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia termasuk beberapa tempat di Johor seperti Pasir Gudang dan Ibu Pejabat kami di Shah Alam. Ia lebih kepada pentadbiran,” jelasnya semalam.

Beliau menjelaskan, pelajar bidang TVET akan ditempatkan ke pusat perkhidmatan.

“Jika bekerja luar seperti di pusat servis, mereka akan mendapat lebih banyak pengalaman.

“Jika di luar, mereka akan didedahkan dengan peralatan berputar dan sebagainya, termasuk peralatan memperbaiki,” katanya.

Suara Sarawak