ARTIKEL

Zambry mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung penyerahan surat pengiktirafan status universiti penuh i-CATS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini | Foto: Ramidi Subari

Kolej Universiti ICATS lulus sebagai universiti penuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kolej Universiti i-CATS diluluskan untuk dinaik taraf sebagai universiti penuh, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, kelulusan itu membolehkan institusi berkenaan memperluas program pengajian mengikut keperluan pembangunan negeri, khususnya dalam bidang teknologi tinggi dan kejuruteraan.

“Dengan status ini, Sarawak kini mempunyai sebuah lagi universiti negeri,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung penyerahan surat pengiktirafan status universiti penuh i-CATS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi menyelaras perancangan serta kelulusan program baharu yang dicadangkan universiti tersebut.

“Sebentar tadi, pihak kami juga mendengar daripada Premier mengenai hasrat beliau untuk melihat kursus yang mempunyai kepentingan kepada Sarawak, khususnya dalam bidang teknologi tinggi.

“Perkara itu akan diselaraskan bersama KPT dan MQA bagi memastikan perancangan universiti dapat dilaksanakan,” katanya.

Zambry berkata, terdapat industri yang memerlukan sehingga 500 jurutera, manakala industri lain turut memerlukan jumlah tenaga kerja yang hampir sama.

Zambry berkata, pembangunan ekosistem pendidikan tinggi di Sarawak dijangka dapat membantu memenuhi keperluan industri dan menyokong agenda pembangunan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata KPT turut meluluskan penawaran kursus undang-undang di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) susulan permintaan kerajaan negeri.

Zambry berkata, kelulusan itu diberikan berdasarkan keperluan menambah tenaga profesional dalam bidang perundangan di Sarawak dan Sabah, meskipun moratorium berkaitan masih berkuat kuasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan penubuhan pusat penyelidikan Universiti Fudan di Sarawak pada dasarnya telah diluluskan sejak Februari lalu.

Mengenai permohonan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) untuk menubuhkan Fakulti Perubatan, Zambry berkata KPT akan mempercepat proses permohonan berdasarkan keperluan negeri.

“Kita akan memproses secepat mungkin kerana kita tahu keperluan negeri,” jelas Zambry.

Beliau dalam masa yang sama memuji kepimpinan Sarawak yang disifatkannya mempunyai visi jelas dalam memajukan pendidikan dan pembangunan modal insan negeri.

“Saya ucapkan tahniah kepada rakyat Sarawak semua kerana memiliki pemimpin yang mempunyai visi. Visi yang paling penting bagi sesebuah negeri ialah visi pendidikan kerana pembangunan modal insan sangat besar kepentingannya,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU