Komited bantu B40 miliki rumah

DALAT: Kerajaan Sarawak komited melaksanakan Projek Rumah Spektra Permata bagi membantu golongan B40 di Sarawak memiliki rumah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, seramai 39 penduduk Dalat menarik nafas lega apabila mereka disenarai pendek mendapat rumah Spektra Permata yang dibina oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

“Tahniah kepada 39 penduduk yang sudah disenarai pendek mendapat rumah Spektra Permata. “Di bawah rumah Spektra Permata, ia termasuk subsidi dari segi pembinaan parit, kemudahan jalan, air, elektrik, termasuk menembok tanah yang memerlukan kos yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Projek Rumah Spektra Permata Dalat pada Selasa.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan pihak Jabatan Tanah dan Survei serta HDC yang akan membangunkan rumah mengikut harga yang telah ditetapkan.

“Projek dijangka siap pada 2022 dan bayaran akan bermula setelah rumah siap. “Rumah yang dibina ini akan dibina dengan tiang besi berkeluasan 820 kaki persegi dan keluasan tapak tanah untuk 39 buah rumah ialah keseluruhannya ialah lima ekar, termasuk dilengkapi tiga buah bilik untuk setiap rumah.

“Selain itu Jabatan Tanah dan Survei kini sedang mengenal pasti 100 lagi lot tanah untuk bantuan ini pada masa terdekat.

“Kami mahu pada 27 Januari 2021 nanti hak pemilikan tanah akan diberikan kepada mereka yang memerlukan nanti khas-nya di Kampung Brunei termasuk pembesaran tanah di Kampung Tengah Hilir Dalat,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah turut memuji usaha gotong-royong yang lakukan oleh penduduk kampung di Dalat dalam melaksanakan projek baik pulih rumah dengan setiap kos untuk setiap rumah RM15,000.

Untuk rekod sejumlah RM1.959 juta telah diperuntukkan kepada lebih 174 buah rumah untuk dibaik pulih melalui usaha gotong-royong melalui Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) dari tahun 2018 sehingga 2019 melibatkan 4 fasa.