BELAGA: Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar demi kepentingan negeri, kemudahan dan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini temasuk mencari jalan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih untuk Sarawak, bagi merealisasikan usaha merancakkan pembangunan di kawasan luar bandar.
Ia,katanya, dapat dilihat melalui pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang telah diluluskan dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Sebagai contoh kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, implementasi projek Jalan Utama Kedua, jambatan-jambatan yang sudah dibina atau dalam pelaksanaan dan lain-lain,” katanya pada majlis penyerahan cek pampasan tanah dan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 kanun Tanah Negeri Bahagian Kapit di Dewan Masyarakat Belaga, hari ini.

Demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih sempurna, katanya, kerajaan perlu mengambil balik tanah, sama ada ianya tanah berhakmilik ataupun tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur.
Namun, tegas Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Kerajaan Sarawak tidak mengambil tanah secara percuma tetapi mengikut undang-undang dengan membayar pampasan yang berpatutan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam konteks tersebut, katanya, tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
“Hari ini, Kerajaan menyerahkan 34 cek pampasan tanah bagi projek Jalan Masuk ke Uma Sambop, Belaga membabitkan pampasan berjumlah RM267,449.90 kepada 28 penerima, tiga cek dengan jumlah RM27,540.20 kepada tiga penerima yang terlibat dalam projek Jalan Bakun Bypass serta pampasan berjumlah RM1,124,170.24 kepada 150 penerima yang terlibat dalam projek naik taraf pembinaan Jalan Belaga ke Menjawah,”ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, tambah Tengah lagi, rakyat perlu memahami serta menyedari hasrat murni kerajaan sekali gus memberi kerjasama serta menyokong pelaksanaan kerja demi kebaikan pada masa depan.
“Projek Pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan adalah untuk memberi manfaat yang bermakna untuk rakyat,” ujarnya sambil menambah pelaksanaan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya adalah bagi menghubungkan kawasan luar bandar ke bandar utama.
“Sebagai contoh, sebelum pembinaan Jalan Belaga ke Mejawah, Belaga hanya dihubungkan ke kawasan lain dengan pengangkutan sungai yang perlu melalui beberapa jeram yang berbahaya.
“Pelaksanaan projek Jalan Belaga- Mejawah ini adalah akses laluan ke tujuh rumah panjang berdekatan- Rumah Nyaving, Rumah Apan, Rumah Long Mitik, Rumah Long Segaham, Rumah Panjang Lahanan, Rumah Panjang Kajaman dan Rumah Panjang Makahei selain menghubungkan Kampung Mejawah, Empangan Bakun sehingga Pekan Belaga,” katanya lagi.
Selain itu, menurut Timbalan Ketua Menteri itu lagi, kerajaan turut membina jalan masuk ke Uma Sambop sepanjang 4.2km standar R1 dan Jalan Bakun Bypass yang mana kemudahan infrastruktur itu membolehkan kerajaan negeri menfokuskan ke arah mengangkat ekonomi penduduk Belaga khususnya dalam bidang pertanian.
Selain menyerahkan cek pampasan tanah, Tengah turut menyampaikan sejumlah 62 surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada 55 penerima bagi kawasan Batang Rajang, Balui Belaga.
Menteri Muda Utiliti(Elektrik Luar Bandar) merangkap Adun Belaga, Datul Liwan Lagang, Adun Murum,Kennedy Chuk Pai Ugon, Setiausaha Politi kepada Ketua Menteri, Michael Mujah Lihan, Beatrice Kedoh Tajing dan Charles Balan Siling, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kapit, Sagu Unting, Residen Bahagian Kapit, Nyurak Keti dan Pegawai Daerah Belaga, Juan Ubit hadir sama.