Komited tingkat prasarana pendidikan

SARIKEI: Usaha meningkatkan kualiti pendidikan di DUN Repok terus diberi tumpuan bagi memastikan generasi muda di kawasan itu menimba ilmu dalam suasana selesa.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memberi jaminan langkah tersebut akan terus diperhebatkan melalui pelbagai pendekatan.

Selain prasarana sekolah katanya, beliau juga akan terus menyalurkan sumbangan peralatan dan pakaian seragam dari semasa ke semasa.

“Saya memberi tumpuan terhadap aspek ini kerana sedar pendidikan satu-satunya jalan terbaik untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Melalui ilmu jugalah generasi muda berpeluang menikmati kehidupan yang lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Perayaan Hari Kuih Bulan, Penubuhan Jawatankuasa dan Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang 2019 anjuran Persatuan Klan Ling Sarikei di Dewan Sentral di sini, semalam.

Pada majlis itu beliau meluahkan penghargaan kepada rakyat Sarikei yang memberi sokongan padu kepadanya dalam pilihan raya lepas.

“Saya akan terus berusaha untuk menaiktaraf kemudahan asas, jalan raya, longkang, infrastruktur sekolah, terminal, kompleks sukan dan lain-lain lagi untuk rakyat di kawasan ini.

“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga Sarikei agar terus memberikan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi masa Sarikei yang lebih cerah.

“Sudah pasti, kita berterima kasih kepada Abang Jo kerana meluluskan banyak projek berimpak besar yang amat diperlukan oleh rakyat di kawasan ini,” katanya.

Perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan yang penting dan dirayakan oleh bangsa cina setiap tahun. Perayaan ini disambut dengan perarakan tanglung pada waktu malam perayaan, dan juga makan kuih bulan.

 

Kehadiran Huang memeriahkan lagi program.

 

Tetamu jemputan mengabadikan kenangan beramai -ramai.

 

Majlis berlangsung dalam suasana meriah.