KUCHING: Belanjawan 2023 jelas membuktikan komitmen dan iltizam berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di Sarawak dan Sabah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, belanjawan yang bertemakan Membangun Malaysia Madani itu terbukti dengan sejumlah RM20 bilion diperuntukkan untuk menerus dan menyegerakan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dengan jajaran lebih 1,000
kilometer.
“Ia juga memfokuskan kepada projek jalan utama Sabah dan Sarawak, jalan di sempadan dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Kalimantan susulan penubuhan ibu negara Indonesia, Nusantara di sana.
“Usaha ini bagi menambah baik hubungan yang membuka pelbagai peluang di negara ini dan Kalimantan. Hubungan manusia kepada manusia, perniagaan dengan perniagaan dan Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) akan dapat diperkukuhkan sekiranya logistik ditambah baik,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak berbanding Belanjawan 2022 itu juga membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.
“Menerusi belanjawan itu, kerajaan juga terus komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk memuktamadkan Pemberian Khas Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Ia termasuk membolehkan Sarawak menerima pemberian khas sekurang-kurangnya RM300 juta kerana sejak 1973, masing-masing negeri ini kekal pada RM26.7 juta dan RM16 juta.
“Kerajaan Persekutuan juga komited dalam menyegerakan rundingan untuk formula baharu.Selain itu, telah menyerahkan kuasa melulus perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak bagi projek sehingga RM50 juta.
“Ini akan memberi impak positif terhadap usaha mempercepat pembangunan di kedua-dua wilayah berkenaan,” jelasnya.
Mengulas dari segi kemudahan kesihatan, katanya kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.2 billion bagi penyelenggaraan 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif di kedua-dua negeri berkenaan.
“Justeru, belanjawan ini membuktikan tekad Kerajaan Perpaduan dalam menggabungkan agenda dan dasar murninya yang mengutamakan rakyat Malaysia secara keseluruhan terutamanya dalam menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak secara tuntas,” katanya lagi.