ALAT muzik tradisional kompang merupakan salah satu daripada identiti seni muzik Malaysia.
Sejarah kompang dikatakan berasal dari Tanah Arab.
Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional paling popular bagi masyarakat Melayu.
Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang, namun kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing.
Mempunyai baluh berbingkai dibuat daripada kayu, lazimnya kayu jenis nangka atau nama saintifik Artocarpus Heterophyllus.
Belulang kulit kambing dipasang pada permukaan baluhnya menggunakan bahan pelekat dan ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin.
Kebiasaannya, seurat rotan diselit di bahagian belakang di antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang dan menguatkan bunyi kompang tersebut.
Ada juga yang menggunakan tali atau gegelung plastik sebagai ganti rotan kerana ia lebih tahan lama dan mudah untuk digunakan.
PEMBAKAR SEMANGAT
Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.
Beberapa teori menyatakan bahawa kompang dibawa masuk sama ada oleh pedagang Muslim dari India, atau melalui Tanah Jawa oleh pedagang Arab.
Di samping itu, pedagang Arab menggunakan kompang untuk menarik para pelanggan.
Penghijrahan orang Jawa ke Tanah Melayu terutama di Negeri Johor, Selangor dan Melaka membawa masuk kesenian kompang.
Malah, ada teori mengatakan bahawa kompang ini berasal dari Parsi atau kini dikenali sebagai Iran.
Kompang diguna bagi membakar semangat tentera ketika berperang.
Kini, kompang sudah menjadi sebahagian daripada budaya dan kesenian muzik orang Melayu di Nusantara.
Ada juga pembuatan kompang yang menggunakan kulit lembu, namun bunyi yang dihasilkan berbeza.