
SADONG JAYA: Daerah Sadong Jaya iaitu kawasan yang terletak di pesisir sungai Batang Sadong bakal mempunyai Kompleks Sukan tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo berkata, gelanggang sukan yang dilengkapi pelbagai kemudahan itu akan mampu menjadi medan untuk penganjuran pelbagai kejohanan berprestij.
Pada masa sama boleh digunakan bagi penganjuran program sama ada berskala kecil, sedarhana mahupun mega.
“Kompleks Sukan Sadong Jaya yang menelan kos pembinaan RM13 juta sudah pun bermula pelaksanaannya ketika ini.
“Ia terletak berhampiran dengan pekan kawasan terbabit,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Veteran 2022 di Padang Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, Sadong Jaya semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Insfrastruktur dan Pelabuhan mengakui, besar manfaatnya dengan adanya kompleks sukan berkenaan kerana dapat memudahkan penganjuran acara sukan.
“Dengan adanya kompleks sukan itu, ia akan dapat digunakan untuk program-program lain yang berskala besar,” katanya.
Justeru beliau optimis apabila siapnya kompleks sukan itu kelak, ia akan dapat menjadi mercu tanda baharu sekali gus berperanan menyumbang kepada pembangunan sukan di Sarawak.
