Komuniti nelayan di Kampung Jepak sertai program kesedaran keselamatan

BINTULU: Lebih 50 orang terdiri daripada komuniti nelayan menghadiri Program Kempen Kesedaran Keselamatan Di Laut dan Dialog Bersama Komuniti Nelayan Bintulu yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Jepak, di sini.

Acara ringkas perasmian program anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Bintulu itu disempurnakan Pengarah Maritim Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah.

Dalam ucapan ringkasnya, Shahref berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada program Sahabat Maritim dan tanggungjawab social korporat yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran awam khususnya komuniti nelayan setempat seperti nelayan, pemancing, pengusaha dan pekerja kapal, feri dan bot serta masyarakat awam yang tinggal berhampiran laut akan kepentingan keselamatan di laut.

Penganjuran program itu juga, katanya, merupakan satu platform bagi mengeratkan hubungan serta kerjasama erat di antara Maritim Malaysia, agensi kerajaan dan syarikat korporat termasuk komuniti maritim bagi memastikan undang- undang dan peraturan keselamatan di laut dipatuhi setiap masa dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kehilangan jiwa di laut.

Pada majlis tersebut, pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu turut menyampaikan sumbangan kepada seramai 27 orang asnaf daripada Komuniti Maritim Bintulu, sijil penghargaan kepada tiga nelayan yang telah membantu pihak Maritim Malaysia dalam operasi menyelamat pada tahun lalu.

Antara pengisian program yang turut mendapat sokongan dan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Bahagian Bintulu dan Persatuan Nelayan Kawasan Bintulu ini adalah taklimat Preventive SAR(Mencari dan Menyelamat) oleh Maritim Malaysia, taklimat keselamatan di pelantar oleh pihak Petronas Carigali Sdn. Bhd- Sarawak Gas serta sesi soal jawab bersama Komuniti Nelayan Bintulu.

Timbalan Pengarah Zon Bahagian Operasi Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil, Timbalan Pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Wilayah Tiga(3) Miri, Haji Awangku Mansor Pangeran Zainuddin, pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bintulu, Awang Ismail Awang Sharie dan Penghulu Haji Drahman Kawi hadir sama.

Suara Sarawak