Konco ‘along’ ditangkap ugut peminjam

KUCHING: Tiga konco ‘along’ ditangkap dalam tempoh kurang daripada 48 jam selepas membuat ugutan jenayah terhadap seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 23,29 dan 32 tahun itu ditangkap semalam, susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa yang berusia 25 tahun pada 20 Jun lalu.

“Polis menerima laporan daripada pengadu yang mendapati dua buah kenderaan dan pintu rumah telah disimbah dengan cat merah serta mendapat sekeping nota ugutan jenayah.

“Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuching kemudian menubuhkan Pasukan Rempuh Khas dan telah berjaya menangkap kesemua suspek di sebuah premis di Jalan Matang,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa.

Beliau berkata pasukan operasi turut merampas dua set komputer, fail-fail, buku pelbagai rekod, buku catatan, kad perniagaan, borang pinjaman dan empat telefon bimbit.

Menjelas lanjut, Ahsmon berkata ketiga-tiga suspek merupakan ejen kepada syarikat pemberi pinjaman wang berlesen.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 507/427 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak