Trending

Konflik Rusia-Ukraine: Indonesia hormati kedaulatan semua negara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo menegaskan negaranya sentiasa menghormati kedaulatan dan integriti wilayah semua negara.

Kenyataan itu merujuk cadangan perdamaian konflik Rusia-Ukraine oleh Menteri Pertahanan Prabowo Subianto di sidang kemuncak pertahanan pada 3 Jun yang mencetuskan perdebatan dan kontroversi.

“(Pendirian) kita sejak dahulu tidak berubah bahawa Indonesia sangat menghormati kedaulatan dan integriti wilayah negara lain,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu itu pada Khamis.

Beliau yang masih berharap perang itu dapat ditamatkan tidak lama lagi, menjelaskan Prabowo hanya memberi cadangan semasa sesi dialog, bukan di peringkat perundingan antara negara.

Semasa IISS Shangri-La Dialogue di Singapura, Prabowo mencadangkan gencatan senjata dan pengunduran tentera sejauh 15 kilometer dari kedudukan hadapan untuk mewujudkan zon bebas tentera.

Pada 6 Jun, Prabowo dikunjungi Duta Rusia ke Indonesia, Lyudmila Vorobieva, di sini, sehari selepas menerima kunjungan Duta Ukraine ke negara itu, Vasyl Hamianin.

Jurucakap Kementerian Luar Ukraine Oleg Nikolenko dilaporkan menolak cadangan perdamaian konflik Prabowo dan mengulangi pendirian Kyiv, Rusia perlu mengundurkan tenteranya dari negara itu.

Konflik yang tercetus sejak Februari 2022 masih berlarutan sehingga ke saat ini. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru