LUNDU: Syarikat sedia ada yang terlibat dalam sektor penternakan udang disarankan untuk berkongsi teknologi pertanian moden bagi membangunkan industri tersebut di Sarawak.
Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia bagi menggalakkan lebih ramai penternak dan usahawan kecil menceburi bidang tersebut bagi membantu mencapai sasaran menjadi pengeksport utama makanan.
“Syarikat sedia ada yang terlibat dalam sektor tersebut mempunyai komitmen serta semangat yang tinggi dalam membangunkan akuakultur serta perniagaan mereka.
“Ia termasuk membangunkan projek pertanian pintar dengan penggunaan Internet Pelbagai Benda (IOT) termasuk teknologi memberi makanan ternakan pintar, cuaca pintar, roda pendayung pintar, papan pintar, kamera pintar dan tugas malam pintar,” katanya.
Rundi berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan penternakan udang Sea Horse Corporation di Taman Akuakultur Loba Stoh, Lundu, hari ini.
Menurut, kerajaan juga bersedia membantu pemain industri ini dalam pembinaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya asalkan syarikat sedia ada berkongsi ilmu teknologi pertanian pintar serta menyediakan khidmat nasihat kepada penternak kecil-kecilan.
