Kongsi maklumat jurulatih bangunkan bola sepak

PENGARAH Teknikal Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), David Usop mengharapkan kerjasama jurulatih di seluruh negeri ini untuk memberikan maklumat terkini berhubung status mereka.

Usaha ke arah itu penting bagi membantu tadbir urus program pembangunan badan induk (FAS) pada tahun 2021.

Ini selaras dengan program pembangunan bola sepak yang lebih telus, iaitu jurulatih yang memiliki Lesen Pro-Diploma, Sijil Kejurulatihan A (Lesen A), Sijil Kejurulatihan B (Lesen B), Sijil Kejurulatihan C (Lesen C) dan Sijil Kejurulatihan Awalan atau Lesen D dapat diklasifikasikan mengikut tahap kopetensi jurulatih yang bakal terlibat dalam program pembangunan bola sepak Sarawak. Ia turut membabitkan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Oleh itu jelas David, jurulatih yang berpengetahuan akan disenaraikan sebagai jurulatih yang akan membentuk pemain pelapis yang terdiri daripada anak-anak Sarawak dalam mengemudi sesuatu perlawanan.

Ia melibatkan Piala Belia, Piala Presiden, malah ke peringkat perlawanan yang lebih berprestij tinggi, iaitu antarabangsa.

Tambah David, melalui FAS juga rancangan pembangunan bola sepak akan diteruskan dengan pencarian bakat baharu yang boleh diasah serta diketengahkan sebagai pemain pelapis.

“FAS akan mendominasi pemantauan pemain dari semasa ke semasa mengikut klasifikasi program perantis bola sepak yang turut melibatkan beberapa pusat pembangunan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media Selasa.

Justeru, FAS memerlukan jurulatih yang bertauliah, untuk melahirkan pemain yang berkualiti serta profesional dan boleh meningkatkan mutu bola sepak Sarawak ke tahap yang lebih tinggi serta membanggakan.

Dalam pada itu, FAS akan menyediakan strategi terbaik agar misi mencungkil bakat baharu di seluruh negeri berjalan lancar.

“Kemahiran kejurulatihan yang melibatkan pemain bola sepak, penjaga gol, pengadil dan pelbagai aspek yang terlibat juga dititikberatkan,” katanya.

Suara Sarawak