Kongsi maklumat projek tergendala

BINTULU: Pemimpin masyarakat perlu berani memaklumkan kepada Pejabat Daerah Bintulu atau agensi pelaksana jika projek yang dilaksanakan tidak berjalan lancar.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, ia juga akan dapat memastikan pelaksanaan projek tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Bagi memastikan kelancaran projek pembangunan, perlu untuk pemimpin masyarakat terutama di kawasan Dun Jepak turun padang membantu memantau pelaksanaan projek pembangunan terutama projek Tranformasi Luar Bandar (RTP).

“Saya berharap sebarang bentuk masalah atau isu berkaitan pelaksanaan projek pembangunan dapat ditangani dengan baik dan berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Kaum Daerah Bintulu Dun Jepak di sebuah hotel di sini, semalam.

Talib yang juga Adun Jepak berkata, kerjasama dan hubungan baik pemimpin masyarakat dengan agensi pelaksana perlu ada bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

“Ini penting kerana isu membabitkan pembangunan dan kepentingan rakyat terus menjadi tumpuan kerajaan,” tambahnya.

Dalam ucapannya, beliau bangga dengan kerjasama dan kesungguhan pemimpin masyarakat di kawasan Dun Jepak membantu kerajaan mengenal pasti serta mengagihkan makanan kepada penduduk terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.

Seramai 27 ketua kaum menerima sijil lantikan tersebut.

Daripada jumlah itu, empat merupakan lantikan baharu, manakala 23 lagi adalah ketua kaum yang dilantik semula. Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim dan Pegawai Daerah Bintulu, Muhammad Din.

Suara Sarawak