Kongsi pengalaman urus pusat khidmat

KUCHING: Pusat Khidmat Adun N.4 Pantai Damai patut menjadi contoh kerana berjaya beroperasi dengan baik dan berkesan dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Timbalan Speaker Dun Datuk Gerawat Gala berkata, organisasi tersebut terbukti berjaya berdasarkan keputusan PRN dan kerjasama erat dengan badan bukan kerajaan.

“Kita memilih pusat khidmat ini sebab berjaya diuruskan dengan baik.

“Konsep pengurusan pusat khidmat ini juga amat efisien terutama dalam aspek berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi Pusat Khidmat Adun Pantai Damai semalam.

Gerawat yang juga Adun Mulu turut memuji PBB Cawangan Pantai Damai kerana mempunyai bilangan ahli yang ramai.

“Kita dapat lihat Pantai Damai mempunyai bilangan ahli PBB yang tertinggi.

“Kita akan mengguna pakai konsep PBB Pantai Damai dalam mendaftarkan ahli di kawasan kita bagi meningkatkan sokongan,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bangga menerima kunjungan Gerawat bersama-sama rombongan.

“Pada kunjungan ini, kita berkongsi pengalaman dan maklumat tentang pentadbiran pusat khidmat dan pengurusan kawasan serta strategi yang digunakan setiap kali pilihan raya,” jelasnya.

Suara Sarawak